SUBANG, 28 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menebangkan lagi petugas Tim Mobilisasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah, semalam.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, daripada 61 petugas tersebut, 47 orang diterbangkan ke Kota Kinabalu manakala 14 orang lagi ke Tawau dengan menggunakan 2 buah pesawat A400M dari Pangkalan Udara Subang (PU Subang).
Menurutnya, 2 buah pesawat tersebut membawa peralatan perubatan KKM bagi kegunaan pusat-pusat kesihatan di negeri Sabah antaranya ‘emergency trolley, medical ward screen dan pakaian pelindungan diri (PPE).
“Selain itu, pesawat A400M dari No. 22 Skn, PU Subang juga turut membawa 26 kotak sampel ‘swab test’ dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau ketika penerbangan pulang,
“Kesemua sampel tersebut telah diserahkan kepada pihak KKM sejurus tiba di PU Subang,” katanya.
Penerbangan ini telah dikendalikan oleh Kapten Fitrie TUDM bagi pesawat pertama dan Mejar Shafique TUDM untuk pesawat kedua.
“TUDM akan terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan terutamanya di dalam membantu negara memerangi gelombang ketiga pandemik COVID-19,” tambah kenyataan itu.-airtimes.my