LUMUT, 10 FEB – Keupayaan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal bertambah gah dengan pelancaran Kapal Tempur Pesisir (LCS) ketiga yang dinamakan sebagai SHARIF MASHOR dalam satu majlis penuh istiadat di sini, hari ini.
Upacara penamaan dan pelancaran kapal tersebut di Lumut Naval Shipyard (LUNAS) telah disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Majlis bersejarah ini turut diserikan dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Lumut Naval Shipyard (LUNAS) dalam satu kenyataan berkata, Program LCS terus mencerminkan peningkatan keupayaan Malaysia dalam pembinaan aset pertahanan laut berteknologi tinggi, selari dengan usaha memperkukuh kedaulatan maritim serta kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.
“Kapal-kapal kelas Maharaja Lela yang berasaskan reka bentuk korvet GOWIND oleh Naval Group Perancis merupakan kapal perang tercanggih Tentera Laut Diraja Malaysia dan direka untuk operasi maritim pelbagai dimensi,” katanya pada Selasa.
Jelasnya lagi, nama SHARIF MASHOR diangkat bagi menghormati tokoh sejarah yang pernah memerintah Sarikei pada pertengahan abad ke-19 dan dikenali atas keberanian serta kepimpinan beliau dalam mempertahankan wilayah.
“Sharif Mashor memainkan peranan penting dalam konflik serantau dan usaha penentangan pada zaman yang penuh cabaran, meninggalkan legasi keazaman, ketahanan dan kebijaksanaan strategik,
“Penamaan LCS 3 ini melambangkan semangat keberanian dan komitmen dalam mempertahankan kepentingan maritim negara,
Kapal LCS 3, SHARIF MASHOR telah pun diluncurkan ke permukaan air secara teknikal (technical downslip) di LUNAS pada 31 Januari 2026 yang melibatkan pengujian dan penyempurnaan pelbagai sistem bagi memastikan kesiapsiagaan operasi,” katanya.
Sementara itu, LCS 1 telah memulakan Pelayaran Laut Pertama (First Sea Going) pada 28 Januari 2026, membuktikan kemajuan berstruktur Program LCS serta usaha berterusan Malaysia dalam menghasilkan aset pertahanan laut yang moden dan yang berkeupayaan tinggi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, mewakili Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain. -airtimes.my
