Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa sekaligus menimbulkan suasana geopolitik yang semakin tidak menentu sekaligus timbul persoalan sama ada adakah AS benar-benar mampu mengekalkan operasi ketenteraan berskala besar sekiranya konflik terbuka tercetus dengan Iran.
Beberapa laporan media arus perdana di AS mendedahkan kebimbangan dalam kalangan pegawai pertahanan mengenai tahap kesiapsiagaan logistik dan bekalan senjata.
Laporan oleh The Washington Post menyatakan bahawa Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Dan Caine, telah memberi peringatan kepada pentadbiran Presiden Donald Trump mengenai risiko penggunaan peluru secara besar besaran dalam konflik berskala tinggi.

Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Dan Caine./Foto: Joint Chief of Staff
Dalam peperangan moden, kekuatan tidak hanya diukur melalui jumlah kapal perang atau pesawat tempur. Keupayaan sebenar terletak pada kemampuan mengekalkan operasi secara berterusan. Peluru berpandu berketepatan tinggi, sistem pertahanan udara dan senjata pintar digunakan dalam jumlah besar apabila konflik melibatkan serangan balas dan pertahanan serentak. Jika kadar penggunaan terlalu tinggi, stok sedia ada boleh menyusut dengan cepat.
Laporan media antarabangsa turut memetik pandangan pegawai keselamatan yang berpendapat bahawa operasi serangan intensif mungkin hanya dapat dikekalkan untuk tempoh tertentu sekiranya penggunaan senjata berada pada tahap maksimum. Selepas itu, operasi mungkin perlu diperlahankan bagi mengimbangi baki stok yang masih ada.
Dalam konteks Iran, cabaran yang dihadapi AS tidak terhad kepada serangan ofensif sahaja. Iran mempunyai keupayaan peluru berpandu balistik dan dron dalam jumlah besar. Selain itu, Iran juga mempunyai jaringan sekutu serantau yang berpotensi bertindak balas sekiranya konflik berlaku. Ini bermakna Amerika Syarikat perlu mengekalkan pertahanan udara yang kukuh di samping melaksanakan serangan balas.
Keperluan mempertahankan pangkalan tentera dan aset strategik di Asia Barat akan meningkatkan penggunaan peluru berpandu pemintas dan sistem pertahanan udara. Penggunaan berterusan pada kadar tinggi boleh memberi tekanan kepada inventori sedia ada. Dalam situasi konflik berpanjangan, isu penggantian stok menjadi faktor penting.

Stok peluru berpandu pemintas dan sistem pertahanan udara dijangka dan senjata pintar sedia ada boleh menyusut dengan cepat sekiranya melibatkan serangan balas dan pertahanan serentak./Foto: U.S Navy
Setakat ini, pihak Pentagon tidak mengeluarkan kenyataan rasmi yang menyatakan had masa tertentu mengenai kemampuan AS untuk bertahan dalam perang dengan Iran. Namun, beberapa pegawai pertahanan mengakui bahawa pengurusan stok peluru dan bahan letupan kini menjadi antara keutamaan utama dalam perancangan strategik.
Isu ini juga berkait rapat dengan kemampuan industri pertahanan AS untuk meningkatkan pengeluaran. Walaupun AS mempunyai kapasiti besar, peningkatan pengeluaran memerlukan masa. Kontrak pertahanan perlu diluluskan, bahan mentah perlu diperoleh dan barisan pengeluaran perlu disusun semula.
Di samping itu, AS masih terlibat dalam komitmen keselamatan di pelbagai rantau lain. Ini bermakna sebarang konflik baharu perlu mengambil kira keperluan mempertahankan kepentingan di kawasan lain. Pembahagian sumber menjadi cabaran utama sekiranya perang dengan Iran berlarutan.
Walaupun begitu, AS masih memiliki kelebihan dari segi teknologi, perisikan dan pakatan ketenteraan global. Kelebihan ini memberi keupayaan untuk bertindak balas dengan pantas pada peringkat awal konflik. Namun, persoalan utama bukan hanya tentang kemampuan memulakan serangan, tetapi kemampuan mengekalkan tekanan ketenteraan dalam tempoh panjang.
Akhirnya, konflik besar antara AS dan Iran berpotensi menguji ketahanan logistik dan industri pertahanan AS. Walaupun tiada angka rasmi mengenai tempoh sebenar kemampuan bertahan, kebimbangan terhadap penggunaan stok peluru secara intensif dan tekanan terhadap sistem pertahanan udara jelas menjadi topik perbincangan dalam kalangan pakar keselamatan. -airtimes.my




