Apabila membicarakan perihal peperangan, minda kita sering terarah kepada dentuman meriam, deruman kereta kebal, dan pesawat pejuang yang membelah awan. Namun, di sebalik kemegahan taktik dan operasi ketenteraan, tersembunyi satu elemen kritikal yang sering terlepas pandang ialah elemen logistik. Hakikatnya, tanpa sistem logistik yang utuh, kecanggihan senjata dan kecekapan anggota di medan tempur hanyalah sia-sia.
Dalam konteks pertahanan, logistik merujuk kepada sistem komprehensif yang menjamin kelangsungan operasi ketenteraan. Ia mencakupi pengurusan bekalan peluru, bahan api, catuan makanan, alat ganti, perkhidmatan perubatan, dan pelbagai keperluan sokongan tempur yang lain. Secara ringkasnya, logistik adalah urat nadi yang memastikan ‘mesin perang’ terus beroperasi secara optimum.
Sejarah peperangan moden telah banyak kali membuktikan bahawa kekuatan logistik sering menjadi penentu mutlak antara kemenangan dan kekalahan. Pasukan yang memiliki sistem bekalan yang efisien mampu mengekalkan momentum tempur dengan lebih lama, manakala tentera yang gagal menguruskannya akan lumpuh, biarpun dilengkapi teknologi yang jauh lebih canggih.

Kenderaan artileri, senjata dan aset ketenteraan lain memerlukan penggunaan dengan skala besar bagi memenuhi keperluan dalam peperangan./Foto: U.S Army
Bekalan Kritikal: Peluru dan Bahan Api
Setiap operasi tempur, sama ada melibatkan artileri, senjata kecil, mahupun sistem peluru berpandu memerlukan penggunaan peluru pada skala yang amat besar. Tanpa bekalan yang konsisten, asakan terhadap musuh akan terhenti.
Kelompangan ini terbukti dalam beberapa konflik moden baru-baru ini apabila tentera kehabisan peluru kerana kilang pengeluaran gagal menampung kadar penggunaan di medan perang. Akibatnya, keupayaan tempur di barisan hadapan merosot secara drastik.
Selain itu dalam peperangan moden, mobiliti adalah segalanya. Hampir kesemua aset ketenteraan dari kereta kebal dan kenderaan berperisai, sehinggalah ke pesawat pejuang dan kapal perang—bergantung sepenuhnya kepada bahan api. Tanpa kelancaran bekalan ini, jentera perang tidak mampu digerakkan. Aset secanggih mana pun akan bertukar menjadi ‘besi buruk’ yang terdampar sekiranya tangki bahan api kosong.

artileri, senjata kecil, mahupun sistem peluru berpandu memerlukan penggunaan peluru pada skala yang amat besar./Foto: Reddit
Rantaian Bekalan Sebagai Sasaran Strategik
Rantaian bekalan adalah tulang belakang kepada keseluruhan sistem logistik. Proses ini bermula dari kilang pengeluaran, beralih ke gudang simpanan dan pusat logistik, sebelum akhirnya tiba di tangan unit tempur di barisan hadapan. Kesemua titik rantaian ini wajib berfungsi dengan lancar.
Menyedari hakikat ini, rantaian bekalan sering diangkat menjadi sasaran utama musuh. Strategi melumpuhkan konvoi bekalan, memusnahkan depot simpanan, dan memotong laluan pengangkutan adalah taktik ampuh untuk melumpuhkan operasi ketenteraan lawan.
Serangan ke atas infrastruktur logistik ini mampu memberikan impak kemusnahan berskala besar, waima tanpa perlu bertempur secara bersemuka di medan hadapan.

Serangan terhadap kem dan penempatan logistik ketenteraan sering menjadi sasaran ketika berlaku peperangan./Foto: U.S Army
Kepentingan Industri Pertahanan Domestik
Konflik yang berpanjangan memberi tekanan yang sangat ekstrem kepada sistem logistik sesebuah negara. Oleh itu, industri pertahanan tempatan perlu mempunyai kapasiti pengeluaran yang mencukupi untuk menjamin bekalan yang berterusan.
Bagi negara yang bergantung sepenuhnya kepada import kelengkapan ketenteraan, peperangan membawa risiko yang jauh lebih tinggi. Ancaman seperti sekatan ekonomi, gangguan laluan perdagangan antarabangsa, atau serangan ke atas pelabuhan logistik boleh memutuskan terus talian hayat angkatan tentera mereka.
Kesimpulan
Peperangan bukan sekadar persaingan memiliki senjata paling moden, tetapi ia lebih kepada siapa yang mempunyai keupayaan untuk bertahan dan mengekalkan operasi tempur dalam tempoh yang paling lama.
Kekuatan sesebuah angkatan tentera tidak seharusnya diukur semata-mata pada bilangan aset atau jumlah anggota. Sebaliknya, kecekapan dalam mengurus rantaian bekalan, peluru, dan bahan api sentiasa menjadi proksi penentu sama ada sesebuah negara itu akan terus gah berdiri atau tersungkur tewas di medan peperangan. -airtimes.my











