KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua pihak supaya tidak menjadikan cadangan pembatalan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sebagai isu politik.
Menurut beliau, PLKN 3.0 ini amat penting sebagai usaha strategik dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, memiliki semangat patiotik dan berdaya tahan.
“Golongan ini juga akan menjadi penghubung dan penyokong Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyemai semangat patriotisme dan memberi dorongan kepada masyarakat untuk bersama-sama mempertahankan negara.
“Kita mesti sedar pertahanan negara bukan tugas eksklusif anggota tentera, malah ia memerlukan sokongan dan pemahaman seluruh rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Terdahulu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan agar tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0 atas alasan dananya boleh membiayai inisiatif penting lain.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan telah meluluskan peruntukan dana untuk program itu, ia sepatutnya disalurkan semula kepada program-program sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang lebih memerlukan.
“Kerajaan masih belum menjawab soalan saya tentang PLKN 3.0. Jadi, batalkan PLKN 3.0,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
PLKN 3.0 siri pertama yang bermula sejak 12 Januari lalu disertai seramai 116 pelatih berusia antara 18 hingga 25 tahun telah berjaya menamatkan latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 selama 45 hari.
Kesemua mereka telah melalui modul latihan yang merangkumi 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan, dengan objektif membentuk belia yang lebih berdisiplin, bermotivasi dan patriotik.-airtimes.my
#PLKN #pertahanan #Malaysia #PLKN3 #airtimes

















