PUTRAJAYA, 8 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tentera Israel yang didakwa memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa pagi tadi.
Beliau berkata, kapal tersebut turut membawa rakyat Malaysia dan kejadian berlaku sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini.
“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar turut menuntut agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang berada dalam misi itu dibebaskan segera serta diberikan perlindungan sewajarnya.
“Kerajaan MADANI akan berusaha melindungi keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dan akan berhubung dengan negara rakan serta pertubuhan antarabangsa bagi memastikan pembebasan mereka dapat dilakukan secepat mungkin,” tegasnya.
Terdahulu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan bahawa tujuh kapal misi kemanusiaan FFC dan TMTG dalam konvoi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza telah dipintas oleh tentera Israel ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza sekitar jam 10.50 pagi tadi.
Pintasan terhadap kesemua kapal itu dilakukan ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza. – airtimes.my
#AirTimes #Palestin #FreedomFlotilla #TMTG #Malaysia #Gaza #Misikemanusiaan

