GAZA, 13 OKT – Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan Hamas dan kumpulan bersenjata daripada keluarga Doghmush di kawasan Sabra sejak Ahad lalu.
Menurut laporan Al Jazeera Arabic yang memetik sumber kanan Kementerian Dalam Negeri Gaza, pertempuran di Bandar Gaza itu melibatkan “militia bersenjata yang bersekutu dengan Israel”.
Sumber berkenaan menjelaskan bahawa pasukan keselamatan Palestin telah mengenakan kepungan terhadap kumpulan bersenjata tersebut bagi mengekang ancaman yang timbul daripada pertempuran itu.
Kementerian itu turut memaklumkan lapan anggotanya terbunuh dalam serangan bersenjata oleh militia.
Beliau turut mendakwa bahawa “ahli militia” berkenaan telah membunuh beberapa penduduk yang berpindah ketika mereka pulang dari selatan Gaza ke Bandar Gaza.
Selain itu, sumber perubatan memaklumkan seramai 19 ahli keluarga Dughmush dan lapan pejuang Hamas terbunuh sejak pertempuran bermula pada Sabtu.
Menurut sumber tempatan, Hamas telah memanggil semula kira-kira 7,000 anggotanya daripada pasukan keselamatan untuk mengukuhkan semula kawalan ke atas kawasan Gaza yang baru ditinggalkan oleh tentera Israel.
Selain keluarga Doghmush, terdapat beberapa kumpulan yang bersekongkol dengan Israel antaranya kumpulan Yasser Abu Shabab dan kumpulan Hossam Al Astal.
Setakat ini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut. –airtimes.my
#AirTimes #Gaza #Hamas #Doghmush #Sabra #Palestin #KonflikGaza
