Dalam landskap geopolitik yang semakin tegang di Indo-Pasifik, Malaysia berkemungkinan menghadapi cabaran bagaimana untuk mengekalkan dasar luar yang bebas sambil memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara? Persoalan ini timbul di tengah-tengah perubahan mendadak strategi pertahanan kuasa besar dan peningkatan aktiviti ketenteraan di sekitar Laut China Selatan.
Malaysia yang sejak sekian lama mengamalkan dasar pertahanan yang pragmatik dan sederhana. Ia berasaskan prinsip “defence diplomacy” yang menekankan kerjasama serantau, bukan konfrontasi. Namun, dengan ketegangan yang kian meningkat antara Amerika Syarikat dan China, serta peningkatan kehadiran ketenteraan asing di rantau ini, keseimbangan strategik yang cuba dipertahankan semakin sukar untuk dikekalkan.
Bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), cabaran utama bukan sekadar memperkukuh aset fizikal, tetapi juga memperkukuh strategi dalam mengimbangi keperluan nasional dengan komitmen antarabangsa. Malaysia turut terlibat dalam pelbagai inisiatif seperti FPDA (Five Power Defence Arrangements) dan latihan bersama negara ASEAN, yang bertujuan memperkukuh keupayaan interoperabiliti tanpa perlu berpihak kepada mana-mana blok kuasa.

Latihan ketenteraan bersama 5 negara FPDA (Five Power Defence Arrangements). FOTO: Singapore MoD
Namun, sejauh mana dasar pertahanan Malaysia dapat menampung perubahan dinamik semasa? Dalam laporan Dasar Pertahanan Negara (DPN) 2020, kerajaan menekankan konsep “Keselamatan Komprehensif” yang meliputi ancaman tradisional dan bukan tradisional. Ia termasuk keselamatan maritim, siber, makanan, dan tenaga. Pendekatan ini dilihat sebagai langkah bijak, tetapi pelaksanaannya memerlukan sumber yang besar serta koordinasi yang rapi antara agensi.
Malaysia tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada diplomasi jika tidak disokong oleh keupayaan ketenteraan yang kukuh. Dasar luar kita berjaya kerana pendekatan sederhana, tetapi dalam dunia baharu ini, kekuatan tentera menjadi bahasa diplomasi sebenar.
Selain itu, faktor ekonomi turut memainkan peranan penting. Peruntukan pertahanan Malaysia secara purata berada di bawah 1.5 peratus KDNK, jauh lebih rendah berbanding beberapa jiran serantau seperti Singapura dan Vietnam.Kekangan ini membataskan keupayaan ATM untuk memodenkan aset utama termasuk sistem radar, kapal peronda dan pesawat tempur. Walaupun begitu, kerajaan telah mempertingkatkan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan sebanyak RM 21.7 bilion bagi tahun 2026.Malaysia masih mengekalkan keupayaan minimum pencegahan melalui strategi pertahanan berlapis dan kerjasama teknikal dengan negara sahabat.

program pemerolehan utama bagi belanjawan 2026 termasuk pemerolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana, pendek dan sangat pendek (MSHORAD dan VSHORAD). FOTO: Saab
Di sebalik cabaran tersebut, Malaysia tetap konsisten dalam usaha memperkukuh keselamatan maritimnya. Penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pembinaan kapal kelas baru oleh TLDM menjadi langkah ke hadapan dalam memastikan kehadiran berterusan di perairan strategik. Sementara itu, ATM terus memperkukuh keupayaan pengawasan dengan teknologi satelit dan dron, yang semakin memainkan peranan penting dalam misi pengawasan jarak jauh.
Namun, masa depan keseimbangan strategik Malaysia akan banyak bergantung pada kebijaksanaan diplomasi dan kemampuan negara menyesuaikan diri dengan perubahan realiti global. Dalam dunia di mana kuasa besar berlumba-lumba menunjukkan taring, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan prinsip “friends with all, enemies with none” akan benar-benar diuji.
Akhirnya, persoalan utama tetap sama. Bolehkah Malaysia terus berdiri teguh di tengah-tengah lautan geopolitik yang bergelora tanpa berpihak kepada mana-mana kuasa? Jawapannya mungkin bergantung pada sejauh mana kita bersedia untuk melabur, bukan sekadar dalam aset pertahanan, tetapi dalam visi jangka panjang keselamatan negara. –airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #ATM #Malaysia #LautChinaSelatan #DiplomasiPertahanan

















