Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi sekali lagi mencuri perhatian dunia selepas Donald Trump mengumumkan hasrat untuk menamakan kerajaan Teluk itu sebagai sekutu utama bukan North Atlantic Treaty Organization (NATO).
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu majlis makan malam rasmi di White House yang turut dihadiri Putera Mahkota Mohammed Salman. Langkah itu mengundang pelbagai persoalan tentang hala tuju kerjasama pertahanan Washington dan Riyadh serta maksud sebenar di sebalik kenyataan Trump.
Status sekutu utama bukan NATO merupakan kedudukan istimewa yang diberikan AS kepada negara tertentu bagi memudahkan kerjasama pertahanan. Gelaran ini tidak menjadikan sesebuah negara anggota NATO tetapi ia membuka akses lebih luas kepada pembelian senjata dan teknologi buatan AS selain kerjasama risikan dan latihan ketenteraan yang lebih mendalam.

Latihan ketenteraan akan dilaksanakan dengan lebih mendalam antara AS dan negara sekutu. FOTO: U.S Deparment of War
Setakat ini dua puluh negara menerima gelaran tersebut termasuk Jordan, Bahrain, Mesir dan Israel. Sekiranya Arab Saudi menerima status ini ia bakal mengangkat hubungan keselamatan kedua dua negara ke tahap baharu.
Trump sebelum ini mengumumkan penjualan pesawat pejuang F35 kepada Arab Saudi serta menandatangani perjanjian pertahanan strategik baharu dengan kerajaan itu. Beliau mendakwa langkah tersebut akan melonjakkan kerjasama ketenteraan kedua dua negara ke paras lebih tinggi.
Selain itu White House turut mendedahkan rancangan pembelian ratusan kereta kebal dan pesawat pejuang oleh Riyadh serta komitmen pelaburan hampir satu trilion dolar di AS yang disifatkan sebagai satu bentuk pengukuhan hubungan ekonomi dan ketenteraan secara serentak.

Pesawat pejuang F35 akan dijual kepada Arab Saudi seperti yang dimaklumkan Presiden AS, Donal Trump. FOTO: U.S Air Force
Namun persoalan utama ialah apa yang sebenarnya ingin dicapai Trump melalui status tersebut. Arab Saudi merupakan kuasa serantau yang berpengaruh di Timur Tengah dan pesaing utama Iran. Dengan mengukuhkan hubungan pertahanan bersama Riyadh, AS berpotensi mewujudkan paksi strategik baharu bagi mengimbangi pengaruh Iran yang semakin tegas di rantau itu.
Dalam masa sama, langkah ini memberi kelebihan kepada Washington dalam persaingan kuasa besar terutama dengan peningkatan pengaruh China dan Rusia yang semakin aktif menjalin hubungan ekonomi dan keselamatan dengan negara Teluk.
Komitmen pelaburan hampir satu trilion dolar oleh Riyadh dianggap sebagai faktor besar yang memperkukuh hubungan kedua dua negara. Malah wujud pertanyaan tentang kepentingan politik domestik yang mungkin mendorong langkah ini memandangkan hubungan rapat antara sesetengah ahli keluarga Trump dengan entiti perniagaan di Arab Saudi.

Perjanjian Abraham merupakan perjanjian diplomatik antara Israel dan beberapa negara Arab dengan perantaraan AS yang membuka jalan kepada hubungan rasmi antara Israel dan negara majoriti Muslim. FOTO: Jabatan Negara AS
Tumpuan lain yang turut diperhatikan ialah kemungkinan Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham yang mempertemukan Israel dengan negara majoriti Muslim melalui kerjasama diplomatik. Putera Mahkota Mohammed bin Salman menyatakan minat untuk menyertai perjanjian tersebut tetapi menegaskan perlunya penyelesaian terhadap isu Palestin. Sekiranya Riyadh menyertai perjanjian itu, ianya bakal mengubah peta diplomatik Asia Barat secara besar besaran.
Namun hubungan AS dan Arab Saudi tidak terlepas daripada kontroversi. Isu hak asasi manusia terutama pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018 terus menjadi bayangan gelap dalam hubungan dua hala tersebut. Trump menegaskan beliau percaya bin Salman tidak mengetahui tentang insiden itu suatu kenyataan yang bercanggah dengan laporan perisikan AS sendiri.
Langkah Trump untuk memberikan status sekutu bukan NATO kepada Arab Saudi jelas membawa implikasi besar kepada kestabilan rantau dan hubungan kuasa besar. Ia dilihat sebagai percaturan geopolitik yang membuka ruang kerjasama pertahanan lebih mendalam tetapi pada masa sama menimbulkan persoalan tentang kepentingan strategik yang ingin dicapai. Persoalannya kini adakah langkah tersebut benar benar demi keamanan atau sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mengukuhkan dominasi AS di Timur Tengah. -airtimes.my
#ArabSaudi #AS #Kerjasamaketenteraan #NATO #Global #Airtimes






















