Dalam wacana pertahanan, terdapat kecenderungan untuk meromantisasikan jentera perang era silam. Jangan silap, memperakui jasa atau kelebihan berbeza dengan tindakan meromantiskan jentera lama. Meromantiskan jentera lama ini sebenarnya melibatkan pujian melampau sehingga di luar batas.
Antara yang paling ikonik dalam isu ini adalah kapal tempur (battleship) kelas Iowa milik Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy). Dilengkapi dengan meriam bersaiz enam belas inci yang mampu melontar peluru seberat sebuah kenderaan kecil, imej kapal seperti USS Missouri dan USS Wisconsin membedil pantai Kuwait semasa Perang Teluk 1991 sering dianggap sebagai lambang kekuatan laut mutlak.
Namun, di sebalik gambaran gagah tersebut, wujud realiti operasi yang jarang dibincangkan. Perang Teluk 1991 sebenarnya bukan pentas kebangkitan kapal tempur, sebaliknya menjadi penanda jelas kepada keterbatasan konsep kapal tempur era Perang Dunia Kedua dalam persekitaran peperangan moden.
Konflik tersebut mendedahkan bahawa saiz dan kuasa tembakan semata mata tidak lagi mencukupi apabila berdepan ancaman berlapis seperti periuk api, peluru berpandu dan peperangan berasaskan rangkaian.

Kapal tempur (battleship) kelas Iowa./Foto: Histortic Naval Ships Association
Raksasa laut di perairan cetek
Satu tanggapan umum yang salah ialah sesebuah kapal perang mampu untuk merapati pantai dan sasaran sesuka hati. Realitinya, ia jauh lebih sukar. Perkara yang sama dihadapi oleh kedua-dua kapal kelas IOWA ini. Di Teluk Parsi, ancaman utama bukanlah meriam musuh, tetapi periuk api laut atau lebih kenali ranjau.
Iraq telah menabur lebih seribu periuk api di perairan Kuwait. Kapal tempur kelas Iowa yang besar dan berat memerlukan kedalaman air yang mencukupi untuk beroperasi dengan selamat. Ancaman ini menjadi nyata apabila dua kapal pengiring yang lebih moden, iaitu kapal kruiser USS Princeton dan kapal amfibia USS Tripoli, melanggar periuk api serta mengalami kerosakan serius.
Insiden tersebut memaksa USS Missouri dan USS Wisconsin beroperasi dengan begitu berhati-hati. Mereka tidak boleh menghampiri pantai tanpa laluan yang telah dibersihkan oleh kapal penyapu ranjau. Akibatnya, pergerakan kapal tempur menjadi perlahan dan terhad, serta bergantung sepenuhnya kepada sokongan aset lain.
Dalam konteks ini, kapal tempur memiliki kuasa tembakan yang besar, tetapi tidak mempunyai kebebasan bergerak yang diperlukan untuk memanfaatkannya secara optimum.

USS Missouri./Foto: Naval History
Insiden tembakan sesama sendiri dan cabaran integrasi sistem
Perang Teluk turut mendedahkan cabaran menggabungkan platform lama dengan sistem pertahanan moden. Pada 25 Februari 1991, Iraq melancarkan peluru berpandu anti-kapal jenis Silkworm ke arah USS Missouri.
Bagi mempertahankan diri, USS Missouri melepaskan chaff, iaitu cebisan logam halus yang bertujuan mengelirukan radar peluru berpandu. Namun, tindakan ini mencetuskan satu insiden yang tidak dijangka.
Sebuah kapal frigat pengiring, USS Jarrett, dilengkapi dengan sistem pertahanan automatik Phalanx CIWS. Sistem ini telah mengenal pasti awan chaff sebagai ancaman lalu melepaskan tembakan ke arah USS Missouri. Beberapa peluru mengenai struktur atas kapal dan mencederakan seorang anggota kru.
Peluru berpandu Silkworm tersebut akhirnya berjaya dimusnahkan oleh peluru berpandu Sea Dart dari kapal British, HMS Gloucester. Walaupun insiden ini tidak membawa kerosakan besar, ia mendedahkan risiko sebenar dalam persekitaran peperangan moden yang padat dan pantas.
Penggunaan sistem pertahanan analog pada kapal era lama boleh mengelirukan sistem digital automatik milik rakan sendiri. Risiko tembakan sesama sendiri bukan lagi teori, tetapi realiti operasi.

HMS Gloucester, kapal milik Tentera Laut Diraja British./Foto: UK MoD
Kebergantungan kepada penderia luar
Satu lagi mitos ialah kapal tempur mampu melihat dan menyerang sasaran secara kendiri. Walaupun meriam enam belas inci mempunyai jarak tembakan sekitar tiga puluh lapan kilometer, penglihatan radar dan optik kapal tetap terhad oleh lengkungan bumi.
Semasa Perang Teluk, USS Missouri dan USS Wisconsin sangat bergantung kepada pesawat tanpa pemandu RQ-2 Pioneer untuk tinjauan sasaran dan penilaian kerosakan. Tanpa sokongan ini, kapal tempur tersebut beroperasi seperti gergasi yang hampir buta.
Satu peristiwa yang direkodkan menunjukkan tentera Iraq di Pulau Failaka menyerah diri kepada sebuah dron Pioneer setelah mendengar bunyinya. Walaupun insiden ini sering diceritakan sebagai anekdot unik, ia sebenarnya menonjolkan hakikat bahawa kapal tempur tidak mampu melaksanakan serangan secara berkesan tanpa sokongan sistem luaran yang juga terdedah kepada gangguan.

USS Wisconsin./Foto: Naval History and Heritage Command
Kos operasi dan beban sumber manusia
Dari sudut pengurusan sumber, kapal tempur kelas Iowa menanggung beban yang besar. Setiap kapal memerlukan antara 1,500-1,600 anak kapal untuk beroperasi.
Sebagai perbandingan, sebuah kapal pembinasa moden kelas Arleigh Burke yang membawa peluru berpandu berpandu jarak jauh hanya memerlukan sekitar 300 anak kapal. Di medan tempur moden, meletakkan lebih seribu nyawa di atas satu sasaran yangbesar menjadi risiko yang sukar dipertahankan.
Walaupun USS Missouri dan USS Wisconsin melaksanakan serangan peluru berpandu dan tembakan meriam semasa Perang Teluk, kos operasi yang tinggi serta risiko kehilangan nyawa menjadikan konsep ini semakin tidak relevan dalam perancangan pertahanan moden.

Kapal pembinasa moden kelas Arleigh Burke./ U.S. Fleet Forces Command
Pengajaran strategik untuk masa hadapan
Perang Teluk 1991 bukan kebangkitan semula kapal tempur di medan peperangan, tetapi persembahan terakhirnya. Konflik tersebut membuktikan bahawa dalam era peluru berpandu pintar, periuk api canggih dan peperangan elektronik, saiz kapal serta kuasa meriam bukan lagi penentu utama kemenangan.
Kekangan pergerakan akibat periuk api, insiden tembakan sesama sendiri akibat ketidakserasian sistem, serta kebergantungan kritikal kepada dron tinjauan menunjukkan bahawa konsep kapal tempur telah ketinggalan zaman.
Bagi negara maritim seperti Malaysia, pengajarannya jelas. Keberkesanan pertahanan tidak ditentukan oleh saiz aset atau nostalgia sejarah, tetapi oleh mobiliti, integrasi teknologi dan keupayaan beroperasi dalam persekitaran ancaman moden yang kompleks. -airtimes.my
#AirTimes #Sejarah #IOWA

































