WASHINGTON, 04 FEB – Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menembak jatuh sebuah dron milik Iran yang dikesan menghampiri kapal pengangkut pesawat, USS Abraham Lincoln di Laut Arab.
Pusat Pemerintahan AS (CENTCOM) memaklumkan, insiden tersebut melibatkan dron jenis Shahed-139 yang terbang secara agresif ke arah kapal berkenaan dengan niat yang tidak jelas.
Susulan ancaman itu, sebuah jet pejuang F-35 yang berlepas dari USS Abraham Lincoln bertindak memusnahkan dron terbabit sebagai langkah pertahanan diri serta bagi melindungi keselamatan kapal dan kakitangan yang bertugas.
Jurucakap CENTCOM, Kapten Tentera Laut Tim Hawkins mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan dialami oleh anggota tentera AS dan tiada kerosakan pada peralatan ketenteraan dalam kejadian tersebut.
Dalam perkembangan berasingan beberapa jam kemudian, tentera AS turut melaporkan insiden gangguan di Selat Hormuz.
Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dilaporkan menggunakan dua bot dan sebuah dron Mohajer untuk menghampiri sebuah kapal dagang berbendera AS, M/V Stena Imperative, dengan ancaman untuk menawan kapal tersebut.
Insiden ini berlaku ketika ketegangan memuncak di rantau tersebut, serentak dengan usaha diplomatik bagi mengatur rundingan nuklear antara Washington dan Tehran.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya konflik jika rundingan gagal, susulan peningkatan kehadiran aset ketenteraan AS di Timur Tengah berikutan pergolakan domestik di Iran. -airtimes.my











