Home SemasaRibuan nyawa telah berkorban untuk kemerdekaan negara – Anwar

Ribuan nyawa telah berkorban untuk kemerdekaan negara – Anwar

by M.Daim
A+A-
Reset

SERDANG, 30 OGOS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan nikmat kemerdekaan yang dikecapi rakyat hari ini adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menentang penjajahan dan ancaman komunis.

Beliau berkata, walaupun angka korban dalam perjuangan menuntut kebebasan negara tidak sebesar apa yang dialami negara lain, hakikatnya sejarah Malaysia turut ditulis dengan darah, air mata dan keringat para pejuang yang tidak boleh dipadamkan daripada ingatan bangsa.

“Benar, ketimbang dengan negara-negara lain, tidak terlalu besar jumlah terkorban banding Indonesia, Vietnam atau Algeria yang meragut jutaan nyawa,

“Tetapi ribuan nyawa tetap terkorban dari zaman Mat Kilau ke Dato’ Maharajalela, sehinggalah home guard, tentera, polis sepanjang puluhan tahun bertarung melawan penjajahan dan gerombolan komunis.

“Yang kita nikmati adalah kerana yang kita warisi dengan baik. Terlalu banyak pengorbanan nyawa, harta benda, air mata, keringat, dan saya seru anak-anak muda terutamanya, lihat, belajar bahawa apa yang kita kecapi dan nikmati ini adalah dengan harga, bukan murah,” katanya ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada tokoh-tokoh besar yang memainkan peranan penting dalam menuntut kemerdekaan negara, termasuk Allahyarham Dato’ Onn Ja‘afar yang mencetuskan gagasan awal perjuangan, selain Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj yang memimpin Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957.

Menurut beliau, perjuangan tersebut berakar daripada kekuatan induk bangsa Melayu, namun kemerdekaan hanya dapat direalisasikan melalui gabungan kerjasama semua kaum utama di Tanah Melayu, termasuk Cina dan India, sebelum disertai pula oleh tokoh-tokoh besar dari Sabah dan Sarawak.

“Dengan gabungan kekuatan ini, Malaysia akhirnya diangkat sebagai sebuah negara baharu yang merdeka dan berdaulat pada 16 September 1963,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa sejarah pembinaan negara bangsa harus dijadikan pedoman kepada generasi muda. Katanya, nikmat yang dinikmati hari ini bukan datang dengan mudah, sebaliknya dibayar dengan pengorbanan generasi terdahulu yang perlu terus dihargai.

“Negara ini unik, satu-satunya negara pelbagai kaum dan pelbagai agama yang bertahan dari segi keamanannya, dari segi kesegaran ekonominya, dari segi kekuatan dan semangat perpaduan serta budayanya banding dengan negara-negara sekitar kita, Asia atau di dunia,” ujarnya.

Anwar menegaskan bahawa pengorbanan itu perlu diteruskan dengan usaha mempertahankan perpaduan, kestabilan dan pembangunan negara agar generasi masa depan dapat mewarisi sebuah Malaysia yang terus makmur dan sejahtera. – airtimes.my

#AirTimes #Merdeka #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply