SENDAYAN, 23 OGOS – Malaysia melakar sejarah baharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional Pertama negara milik Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) di Sendayan, Negeri Sembilan, hari ini.
Kilang berteknologi tinggi dengan kos pelaburan sekitar RM2 bilion itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2026.
Kemudahan ini dibangunkan dengan tujuan memperkukuh infrastruktur pertahanan tempatan dan menambah kapasiti pengeluaran kenderaan perisai negara secara signifikan.
Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Sri Mohd Nizam Kasa berkata, pembinaan kilang ini merupakan tonggak transformasi syarikat untuk menjadi penggerak utama dalam industri pertahanan Malaysia.
“Dengan kelengkapan canggih merangkumi proses rekabentuk, fabrikasi, kimpalan, mengecat, pemasangan hingga ke ujian dinamik, MILDEF kini mampu meningkatkan kapasiti pembuatan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import luar.
“Kerjasama strategik turut dijalinkan bersama Science & Technology Research Institute For Defence (STRIDE) bagi pembangunan platform 6×6 dan Light Armored Tracked Vehicle (LATV). Pada LIMA 2025 lalu, HMLTV keluaran MILDEF dilancarkan sebagai “RIBAT” oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Sri Mohd Nizam
Tambah beliau, MILDEF turut menandatangani Memorandum Persefahaman dengan PT Pindad (Indonesia) dan perjanjian kerjasama dengan ASELSAN (Turkiye) untuk memperluaskan pasaran eksport, pemindahan teknologi dan pembangunan bersama platform taktikal masa hadapan.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam majlis sama, MILDEF memeterai Memorandum Persefahaman dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam bidang penyelidikan, latihan serta pemindahan teknologi, sebagai pelaburan jangka panjang kepada pembangunan modal insan dan inovasi pertahanan negara.
Sejak ditubuhkan pada 2005, MILDEF berkembang daripada sebuah syarikat kecil di Kajang kepada peneraju nasional dalam pembuatan kenderaan perisai seperti Tarantula HMAV dan Ribat HMLTV. Syarikat ini kini mempunyai tenaga kerja tempatan seramai 150 orang dengan majoriti berkemahiran teknikal.
Pembabitan syarikat dalam pameran antarabangsa seperti Defence Security Asia (DSA), Asian Defence and Security (ADAS) serta ekspo pertahanan di Vietnam, UAE, Perancis, Thailand, Brunei dan Indonesia telah memperkukuh reputasi Malaysia di pentas global. -airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #MILDEF #ATM #IndustriPertahanan #Malaysia
