KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini sekali lagi menggesa kerajaan agar membatalkan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang kini memasuki siri kedua pelaksanaannya.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan telah meluluskan peruntukan dana untuk program itu, ia sepatutnya disalurkan semula kepada program-program sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang lebih memerlukan.
“Kerajaan masih belum menjawab soalan saya tentang PLKN 3.0. Jadi, batalkan PLKN 3.0,
“Sekiranya telah ada dana yang diluluskan, maka salurkan kepada program-program sedia ada di KPM dan KPT,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, pada Disember tahun lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia yang dipengerusikan oleh Saifuddin sendiri dilaporkan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.
Menurutnya, syor tersebut dibuat selepas taklimat bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) pada 3 Disember 2024.
“Berdasarkan penelitian dan maklumat taklimat yang diberikan, jawatankuasa mencadangkan agar program ini tidak diteruskan,” katanya.
PLKN 3.0 siri pertama telah dilaksanakan pada Januari lalu dengan penyertaan 116 pelatih sukarela dari seluruh negara, manakala siri kedua pula menyaksikan penyertaan seramai 444 peserta dari seluruh negara.
Mereka didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berdasarkan 30% modul kenegaraan dan 70% latihan asas ketenteraan. -airtimes.my
#pertahanan #PLKN #airtimes #DewanRakyat #RMK13