Home DiskusiKD Raja Muda Nala: Warisan kepahlawanan Selangor diangkat ke lautan

KD Raja Muda Nala: Warisan kepahlawanan Selangor diangkat ke lautan

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Nama Raja Muda Nala Shah mungkin tidak sepopular tokoh sejarah lain seperti Mat Kilau, Tok Janggut atau Dato Maharaja Lela yang sering menjadi rujukan dalam wacana nasional, tetapi semangat perjuangan serta jasanya dalam mempertahankan negeri Selangor dan kestabilan rantau ini tetap terpahat kukuh dalam lipatan sejarah.

Legasi kepahlawanannya yang sekian lama tidak mendapat sorotan meluas akhirnya diangkat semula secara rasmi apabila Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menamakan kapal tempur pesisir generasi kedua sebagai Kapal Diraja (KD) Raja Muda Nala.

Permulaan sebuah legasi

Dilahirkan sekitar tahun 1738, Raja Muda Nala Shah lahir dalam sebuah era yang sarat dengan ketidakstabilan kuasa dan persaingan pengaruh antara kuasa tempatan serta penjajah asing.

Namun di tengah gelora sejarah itu, Baginda tetap membesar dalam lingkungan kepimpinan, diasuh dengan nilai keberanian, kecekalan dan kebijaksanaan yang menjadi asas kepada lahirnya seorang pemimpin sejati.

Baginda merupakan putera kepada Raja Lumu, pengasas dan Sultan Selangor pertama, serta cucunda kepada Daeng Chellak, Yang Dipertuan Muda Riau kedua.

Garis keturunan diraja ini bukan sekadar simbol darah bangsawan, tetapi satu warisan yang menuntut tanggungjawab besar. Raja Muda Nala membuktikan bahawa ketokohan bukan diwarisi semata-mata, tetapi dibentuk melalui tindakan dan pengorbanan dalam medan perjuangan.

Pewaris takhta, pengatur langkah negeri

Pada tahun 1782, ketika kekanda Baginda, Sultan Ibrahim Shah menaiki takhta sebagai Sultan Selangor kedua, Raja Muda Nala diangkat menjadi Raja Muda Selangor. Pelantikan ini bukan sekadar simbol pewarisan, tetapi satu langkah strategik dalam memperkukuh kepimpinan negeri yang masih muda dan terdedah kepada ancaman kuasa luar.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Pemangku Kesultanan Selangor ke-9, terus memainkan peranan penting dalam memelihara warisan diraja serta kedaulatan negeri menerusi kepimpinan berteraskan tradisi, agama dan kemajuan. Foto: AirTimes

Dengan perlantikan itu, Baginda telah memikul amanah besar yang bukan sahaja sebagai pewaris takhta, tetapi juga sebagai pemimpin ketenteraan dan pelindung kedaulatan negeri.

Bagi mengukuhkan kedudukan Selangor dari segi politik dan keselamatan, Raja Muda Nala menjalinkan hubungan strategik melalui perkahwinan dengan Puan Salma, puteri kepada Raja Haji iaitu seorang panglima ulung dari wilayah Riau.

Penyatuan ini bukan sekadar hubungan kekeluargaan, malah membentuk satu pakatan penting antara dua kuasa maritim yang berkongsi misi menentang pengaruh kolonial Belanda serta menjadi asas kepada gerakan ketenteraan bersama yang kelak menguji sepenuhnya ketokohan dan keberanian Baginda sebagai pemimpin perang.

Ujian di medan perang menentang Belanda

Tahun 1784 menjadi medan sebenar bagi Raja Muda Nala menguji kecekapan kepimpinan dan keberaniannya sebagai panglima apabila Raja Haji, ipar merangkap sekutunya dari Riau, mengisytiharkan perang terhadap Belanda susulan pelanggaran perjanjian rampasan perang.

Baginda segera menggerakkan kekuatan Selangor untuk menyertai pertempuran dan mengetuai serangan dari arah utara ke atas Melaka, bermula dari Tanjong Kling hingga ke Tranquerah, sementara Raja Haji melancarkan serangan dari arah selatan.

Peta Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera pada abad ke-18, memperlihatkan kedudukan strategik Kesultanan Selangor, Johor, Riau, dan Aceh dalam menghadapi ancaman kuasa penjajah seperti Belanda di Melaka. Foto: Facebook

Serangan dua penjuru itu memperlihatkan koordinasi ketenteraan yang mantap serta kebersamaan dalam menentang kuasa penjajah, apabila selama hampir enam bulan tentera gabungan terus mengasak kubu Belanda dan mengimbangi kekuatan musuh yang jauh lebih lengkap dari segi persenjataan dan sokongan laut.

Namun begitu, situasi berubah secara mendadak apabila Raja Haji gugur akibat peluru sesat, satu kehilangan besar yang meruntuhkan semangat keseluruhan pasukan. Dengan barisan tempur yang mulai goyah, Raja Muda Nala akhirnya terpaksa menarik pasukannya pulang ke Selangor.

Ini bukan satu kekalahan mutlak, tetapi satu langkah taktikal demi kelangsungan kekuatan negeri, sementara menghadapi serangan balas yang dijangka menyusul dari pihak penjajah Belanda.

Maruah tanah air yang dipertahankan

Sejurus selepas pengunduran itu, Belanda melancarkan serangan balas dan berjaya menawan Kuala Selangor iaitu pusat pemerintahan yang menjadi simbol kekuasaan negeri.

Dalam keadaan serba kekurangan, tanpa sokongan segera daripada pasukan sekutu Johor-Riau, Raja Muda Nala tetap berdiri dengan semangat perjuangan yang tidak pernah surut dalam mempertahankan tanah airnya dengan segala yang ada.

Pada Jun 1785, Raja Muda Nala bersama Sultan Ibrahim Shah mengatur serangan balas yang lebih terancang. Sokongan daripada Pahang dan Aceh menjadi titik kebangkitan semula Selangor apabila gabungan kekuatan ini akhirnya berjaya menawan kembali Kuala Selangor, meskipun Belanda masih mengepung kawasan sekitarnya.

Gambaran perjuangan rakyat Tanah Melayu terhadap penjajahan membuktikan bahawa kemerdekaan tidak pernah datang dari rundingan semata-mata, tetapi ditebus dengan keberanian dan pengorbanan generasi terdahulu. Foto: Melayu Nusantara

Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan kemampuan Raja Muda Nala sebagai pemimpin peperangan, tetapi juga menunjukkan bahawa kedaulatan negeri boleh dipertahankan melalui perpaduan, kesabaran dan keberanian.

Ini menjadi salah satu kisah yang paling penting dalam sejarah ketenteraan Selangor yang membuktikan bahawa maruah negeri tidak akan dibiarkan jatuh tanpa perlawanan.

Perjuangan terakhir seorang Raja

Tahun 1787 menandakan kisah terakhir perjuangan Raja Muda Nala apabila Baginda telah diutus ke Aceh sebagai wakil negeri untuk membantu Sultan Aceh memadam pemberontakan yang tercetus di wilayah Pedir.

Walaupun hanya membawa 16 buah kapal dan 80 orang pengikut, keberangkatan Baginda ke medan perang membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap tanggungjawab serantau dan semangat solidariti antara kerajaan-kerajaan Melayu.

Misi ke Aceh menjadi medan pengorbanan terakhir apabila Raja Muda Nala gugur sebagai pahlawan di bumi asing, namun keberaniannya terus dikenang dalam naratif perjuangan negeri dan rantau ini.

Walaupun pemergiannya yang diselubungi misteri akibat ketiadaan catatan rasmi mengenai makamnya, sebahagian sejarawan percaya bahawa kemangkatan Baginda bukan sekadar kehilangan seorang tokoh, tetapi menjadi noktah kepada era kegemilangan kepahlawanan diraja yang begitu dominan di rantau Semenanjung.

Nama yang kembali berlayar

Lebih dua abad selepas kemangkatannya, nama Raja Muda Nala kembali diingati bukan di medan perang tetapi di barisan pertahanan laut negara.

Pada 3 Julai 2025, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi menamakan kapal tempur pesisir generasi kedua sebagai Kapal Diraja (KD) Raja Muda Nala, dalam satu upacara penuh istiadat di limbungan Lumut Naval Shipyard.

KD Raja Muda Nala secara rasmi dinamakan dalam istiadat yang disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor bersama DYMM Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, sebagai penghormatan kepada tokoh kepahlawanan diraja Selangor dan simbol kekuatan maritim negara. Foto: AirTimes

Penamaan ini disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selaku penaung diraja, bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pemilihan nama tersebut bukan sekadar penghormatan terhadap seorang tokoh sejarah, tetapi lambang kebangkitan semula semangat juang yang pernah menjulang kedaulatan negeri Selangor.

Raja Muda Nala Shah ibni Sultan Salehuddin Shah bukan sekadar figura dalam sejarah tetapi Baginda ialah cerminan sebuah kepimpinan yang menjadikan tanggungjawab sebagai jalan perjuangan, dan takhta sebagai medan amanah.

Kini, apabila nama Baginda terpahat pada lambung kapal TLDM, ia bukan sekadar satu nama tetapi warisan yang kembali berlayar, membawa bersama semangat pertahanan, maruah negeri, dan pengiktirafan terhadap sejarah yang membentuk Malaysia pada hari ini.-airtimes.my

#AirTimes #KDRajaMudaNala #RajaMudaNala #TLDM #PertahananMaritim #DirajaSelangor

 

Related Articles

Leave a Reply