Home Semasa42 tahun berkhidmat, Jeneral Asghar tamat era kepimpinan

42 tahun berkhidmat, Jeneral Asghar tamat era kepimpinan

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

SUBANG, 26 Jun – Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 dalam satu istiadat perbarisan persaraan yang berlangsung di Pangkalan Udara Subang.

Perbarisan penuh tradisi itu dianjurkan sebagai penghormatan kepada Jeneral Asghar yang telah mencurahkan khidmat bakti selama lebih 42 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Seramai 24 pegawai dan 403 anggota, diketuai Leftenan Kolonel Muhd Faizal Abdul Rahim TUDM, terlibat dalam perbarisan yang turut melibatkan lapan panji-panji utama TUDM serta empat skuadron pengawal.

Istiadat diserikan dengan lintas hormat udara melibatkan beberapa pesawat tempur TUDM.

Dalam ucapan terakhirnya, Jeneral Asghar merakamkan penghargaan kepada seluruh warga TUDM yang telah menyokong dan melaksanakan segala dasar serta inisiatif sepanjang beliau menerajui perkhidmatan udara sejak 8 Mac 2022.

“Hari ini saya akan melangkah pergi secara rasmi dari perkhidmatan yang telah menjadi darah daging saya,” katanya.

Dalam nada penuh rendah diri, beliau turut memohon maaf atas sebarang kekhilafan sepanjang berkhidmat dan mengingatkan warga udara agar terus menjunjung nilai-nilai teras perkhidmatan dengan profesionalisme dan semangat setiakawan.

“I have given my all and I did my best,” ujar beliau sambil menyeru generasi baharu agar terus mempertahankan ruang udara negara dengan keberanian dan integriti.

Di bawah kepimpinan beliau, TUDM memacu pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan Pelan Pembangunan TUDM 2055 (CAP55) yang menyaksikan perolehan aset-aset baharu seperti pesawat FA-50 LCA, pesawat rondaan maritim (MPA), radar pertahanan udara, sistem UAS dan helikopter pelbagai guna yang lebih moden.

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan, kebajikan anggota serta diplomasi pertahanan melalui penganjuran LIMA dan penyertaan dalam pelbagai latihan antarabangsa.

Majlis turut menyaksikan pemakaian pangkat serta upacara serah terima jawatan Panglima Tentera Udara kepada pengganti baharu, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM.

Simbolik penyerahan ‘tonggak kuasa’ di hadapan kontinjen perbarisan menandakan peralihan rasmi tampuk kepimpinan dan menjadi detik bersejarah bagi TUDM pada hari ini.

Dengan peralihan ini, TUDM membuka lembaran baharu di bawah kepimpinan Jeneral Norazlan, meneruskan misi sebagai kuasa udara negara yang kekal relevan, tangkas dan berwibawa dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Turut hadir menyaksikan majlis ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Mohd Nizam Jaffar, serta pegawai-pegawai kehormat dan tetamu jemputan.- airtimes.my

#AirTimes #TUDM #TenteraUdara #ATM #PanglimaTenteraUdara #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply