Pergolakan yang semakin meruncing antara Iran dan Israel ketika ini, bukan sekadar krisis yang menyemarakkan ketegangan di Asia Barat. Malah, impaknya turut melanda sehingga melepasi sempadan asalnya, membawa implikasi yang kian terasa di rantau Asia tenggara, termasuk Malaysia.
Dalam era globalisasi yang mempertautkan perhubungan diplomasi serantau, khususnya dari aspek ekonomi, perdagangan dan keselamatan merentasi benua, setiap letusan konflik di satu wilayah sedikit sebanyak mampu mengheret seluruh dunia ke kancah ketidakstabilan baharu. Krisis Iran-Israel menjadi cerminan jelas bagaimana pertikaian dua negara mampu memicu gelombang keresahan global yang sukar dijangka hujungnya.
Lebih membimbangkan, konflik ini bukan sekadar soal ketenteraan semata-mata, malah turut memuatkan naratif sejarah, ideologi, perebutan pengaruh kuasa besar, keselamatan dan pertentangan kepentingan strategik yang telah berakar selama berdekad lamanya, yang dijangka memberi impak mendalam yang negatif kepada ekonomi negara dan Asia Tenggara jika dibiarkan tanpa kawalan.
Malaysia yang sememangnya ada mengimport beberapa barangan dari Iran, seperti kurma, karpet, pistachio dan sedikit minyak sawit, sudah pasti terkesan dengan konflik ini. Namun, tidak mempunyai pergantungan besar dengan Iran. Konflik yang berlarutan dalam tempoh panjang tetap memberi kesan tidak langsung kepada rantaian bekalan, terutama apabila pasaran global makanan dan komoditi sememangnya sedang berdepan tekanan ketidakstabilan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lebih merisaukan ialah potensi gangguan di Selat Hormuz, nadi utama eksport minyak dan gas asli cecair dunia. Sebarang tindakan menyekat laluan strategik ini, sama ada akibat serangan balas atau langkah sekatan, berpotensi melonjakkan harga minyak mentah global. Impaknya bakal melambung ke seluruh dunia dalam bentuk kenaikan kos pengangkutan, operasi perniagaan, dan inflasi pengguna.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini menyatakan, bahawa Malaysia tidak boleh memandang ringan terhadap situasi tersebut. Jika krisis ini berpanjangan atau mula merebak ke negara-negara jiran, dibimbangi menjejaskan bekalan minyak global, lalu melonjakkan lagi harga pasaran global.
Namun begitu, Malaysia mempunyai ketahanan dari sudut sumber makanan, memandangkan majoriti keperluan makanan diimport dari negara lain seperti, India, Pakistan, Timur Tengah, China dan negara-negara ASEAN. Produk dari Iran pula, tidak menjadi komoditi utama disebabkan kekangan sekatan ekonomi sedia ada, dan kebanyakan urus niaga berlaku menerusi negara ketiga, yang melibatkan kurma dan produk kekacang yang bukan merupakan makanan ruji.
Keselamatan serantau dalam situasi berisiko
Selain kesan terhadap ekonomi, aspek keselamatan dimensi yang sama penting untuk diberi perhatian akibat. Ketidakstabilan di Asia Barat membuka ruang luas kepada kumpulan pengganas, pelampau dan ekstremis memperkukuh pengaruh mereka, merekrut anggota baharu di rantau Asia Tenggara serta menyebarkan ideologi melampau merentas sempadan.
Pertembungan antara Iran dan Israel membuka peluang kepada kumpulan berkepentingan ini untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai medan pengembangan baharu. Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sedia maklum akan risiko tersebut, malah banyak insiden sebelum ini menunjukkan rantau ini sering menjadi sasaran perekrutan ideologi ekstremis yang berpaksikan konflik di Timur Tengah.
Meskipun mekanisme pencegahan sedia ada terus diperkukuh, kerjasama perisikan serantau, perkongsian maklumat serta operasi ketenteraman awam perlu terus diperkemas secara berterusan. Ancaman pengganasan pada era pasca-konflik Asia Barat bukan lagi sesuatu yang bersifat spekulatif, sebaliknya menjadi realiti operasi keselamatan harian bagi banyak negara di Asia Tenggara.
Pada masa sama, selain dimensi ancaman kini berkembang ke medan siber, Iran dan Israel yang juga unggul dari aspek teknologi berkeupayaan dalam operasi siber yang canggih. Serangan siber bukan sahaja mensasarkan sesebuah negara secara langsung, malah boleh menjejaskan sektor-sektor penting di negara ketiga, termasuk infrastruktur tenaga, sistem pengangkutan, operasi kewangan dan perkhidmatan awam. Dalam landskap teknologi yang serba terhubung, serangan siber berisiko mencetuskan kesan berganda yang sukar dijangka jika tidak dikawal sejak awal.
Hubungan diplomatik dan percaturan serantau
Dari medan diplomasi pula, krisis ini juga menguji keupayaan Malaysia mengekalkan keseimbangan dasar luar negara. Malaysia secara konsisten menyokong perjuangan Palestin dan menzahirkan pendirian lebih rapat secara moral dengan Iran dalam konteks itu.
Namun pada masa sama, Malaysia juga perlu menjaga hubungan seimbang dengan pelbagai kuasa besar dunia yang mempunyai hubungan strategik berbeza. Realiti geopolitik serantau menuntut Malaysia sentiasa berhati-hati dalam membuat percaturan, terutama apabila berdepan dengan negara-negara yang lebih mesra dengan Israel dalam beberapa kerjasama strategik. Keupayaan membaca percaturan global dengan bijak menjadi kelebihan yang perlu dipelihara.
Dalam pada itu, bagi ASEAN pula, krisis ini sekali lagi membuka persoalan mengenai keupayaan blok serantau itu mencari kesepakatan dasar luar yang kukuh. Perbezaan kepentingan sesama negara anggota berpotensi menyukarkan ASEAN menyatakan pendirian tunggal dalam isu-isu seumpama ini. Namun, kelemahan untuk bertindak secara kolektif juga akan mengurangkan pengaruh ASEAN dalam memastikan kestabilan rantau terus terjamin.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia melihat tindakan ketenteraan Israel ke atas Iran sebagai percubaan menggagalkan usaha rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran. Kerajaan Malaysia setakat ini mengambil pendekatan memantau secara rapi perkembangan konflik, sama ada ia bakal merebak atau mereda dalam tempoh terdekat.
Kesiapsiagaan kekal kunci utama kestabilan
Krisis Iran-Israel kini menjadi satu lagi peringatan keras bagaimana geopolitik global sudah tidak lagi mempunyai sempadan mutlak. Kesan langsung dan tidak langsungnya sentiasa berpotensi merentasi benua, termasuk ke Asia Tenggara yang selama ini cuba mengekalkan neutraliti dalam banyak isu serantau.
Maka, Malaysia perlu terus memperkukuh kesiapsiagaan, bukan sahaja dalam aspek keselamatan dalaman dan diplomasi, malah dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau. Ketidakpastian yang melanda dunia hari ini menuntut kecekapan membaca setiap gelombang geopolitik yang tercetus, kerana satu kesilapan kecil dalam pengiraan boleh membawa implikasi yang berpanjangan untuk seluruh rantau. – airtimes.my
#Airtimes #Konflik #Iran #Israel #AsiaTenggara #ASEAN #Malaysia