Home SemasaGlobalSatu jam Trump, Putin bincang konflik Israel-Iran dan Ukraine

Satu jam Trump, Putin bincang konflik Israel-Iran dan Ukraine

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

WASHINGTON, 15 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan perbincangan telefon selama hampir sejam bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang menyentuh beberapa isu utama termasuk ketegangan antara Israel dan Iran, konflik di Ukraine serta pertukaran tahanan.

Menurut Trump, Putin menghubunginya pada awal pagi untuk mengucapkan selamat hari lahir, namun perbincangan kedua-dua pemimpin lebih tertumpu kepada krisis Asia Barat.

“Presiden Putin menghubungi saya pagi tadi untuk mengucapkan selamat hari lahir, tetapi lebih penting lagi untuk berbincang mengenai Iran, sebuah negara yang beliau amat kenali,” katanya menerusi platform Truth Social.

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju bahawa konflik antara Israel dan Iran perlu dihentikan segera. “Saya jelaskan kepadanya, perangnya juga harus dihentikan,” tambah Trump, merujuk kepada konflik berlarutan di Ukraine.

Dalam kenyataan berasingan di Moscow, Penolong Presiden Rusia, Yury Ushakov, memaklumkan bahawa perbualan itu berlangsung selama 50 minit dan digambarkan sebagai “sangat berguna, terbuka dan berisi.”

Ushakov mendedahkan bahawa Putin menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap serangan ketenteraan Israel ke atas Iran, sambil memberi amaran bahawa sebarang eskalasi lanjut boleh membawa akibat tidak menentu kepada keseluruhan rantau Asia Barat.

“Presiden kami turut memaklumkan kepada Trump bahawa beliau telah menghubungi Perdana Menteri Israel dan Presiden Iran sehari sebelum ini untuk menggesa semua pihak menahan diri,” kata Ushakov.

Menurut beliau, Rusia turut bersedia memainkan peranan sebagai perantara dalam usaha mengendurkan ketegangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Putin turut memaklumkan kemajuan terkini hasil pertemuan delegasi Rusia dan Ukraine di Istanbul pada awal bulan ini, termasuk pelaksanaan pertukaran tahanan secara besar-besaran.

“Ketika ini sedang berlangsung pertukaran tahanan, termasuk banduan yang cedera parah dan tahanan yang berumur bawah 25 tahun. Ukraine juga telah menerima dua kumpulan jenazah tentera,” jelas Ushakov.

Perbincangan seterusnya antara Rusia dan Ukraine dijangka disambung selepas 22 Jun. Trump pula menyatakan keterbukaannya untuk berbincang lebih lanjut mengenai isu Ukraine dalam pertemuan akan datang.

Selain membincangkan krisis antarabangsa, kedua-dua pemimpin turut bertukar ucapan sempena hari lahir Trump yang ke-79 dan memperingati sambutan Hari Bendera serta ulang tahun ke-250 angkatan tentera darat Amerika Syarikat.

Perbualan kali ini merupakan panggilan kelima antara Putin dan Trump sejak bekas presiden AS itu kembali ke pejabat. Kali terakhir mereka berbual adalah pada 4 Jun lalu. – airtimes.my

#Airtimes #Trump #Putin #AS #Iran #Israel #Ukraine

Related Articles

Leave a Reply