TEHRAN, 13 Jun – Iran melancarkan lebih 100 dron dan peluru berpandu ke arah Israel, sebagai tindak balas terhadap serangan udara besar-besaran rejim Zionis ke atas sasaran strategik berhampiran Tehran.
Speaker Majlis Shura Iran, Mohammad Bagher Qalibaf menyatakan bahawa tindakan balas ini adalah satu kewajipan strategik.
“Sudah tiba masa untuk membalas dendam, dan ia akan dilakukan dengan segala cara. Kami tidak akan meninggalkan entiti Zionis. Kami akan menyempurnakan kisah yang mereka mulakan,” kata beliau di laman X rasmi Iran Military.
Menurut kenyataan media antarabangsa Al-Jazeera, Iran kini melaksanakan satu pertempuran pencegahan menerusi serangan bersepadu dron dilancarkan dalam bentuk kawanan bagi menembusi pertahanan udara Israel.
Tentera Israel juga mengesahkan telah mula memintas dron dan peluru berpandu tersebut, termasuk beberapa objek yang dikesan memasuki ruang udara Arab Saudi sebelum menghala ke wilayah Israel.
Dalam pada itu, tentera Jordan turut mengesahkan pemintasan beberapa ancaman udara yang menceroboh ruang udara negara tersebut.
Sebagai langkah kecemasan, kerajaan Israel telah menutup sepenuhnya ruang udara, menggantung sesi persekolahan dan menutup semua premis kecuali perkhidmatan penting.
Sebelum ini, Israel melakukan serangan udara dipercayai menyasarkan pelancar peluru berpandu permukaan-ke-permukaan milik Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di kawasan luar bandar Tehran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa negaranya telah melancarkan Operasi ‘Rising Lion’, yang disifatkan sebagai tindakan ketenteraan bersasar terhadap ancaman yang dibawa oleh Iran.
Serangan tersebut telah mengorbankan beberapa warga termasuk Ketua Angkatan Tentera Republik Islam Iran, Jeneral Mohammad Bagheri, menjadikannya tokoh paling kanan dalam struktur ketenteraan Iran yang terbunuh sejak konflik terkini meletus.-airtimes.my
#Airtimes #Iran #Israel #Dron #Zionis #SeranganUdara #KonflikSerantau #PertahananIran