JELI, 8 Jun – Masalah kesihatan dan komitmen pekerjaan menjadi antara alasan utama yang diberikan oleh 206 pelatih yang tidak hadir menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada Mei lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya akan menilai alasan-alasan yang dikemukakan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Ada beberapa perkara yang kita kenal pasti antaranya aspek melibatkan kesihatan dan juga penglibatan pelajar dalam pekerjaan dan seumpamanya. Kita akan lihat secara keseluruhan apa alasan yang diberikan yang menyebabkan mereka ini tidak mendaftar,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian semasa Program Peduli Veteran Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli, Kelantan, hari ini.
Menurutnya, pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mendapatkan laporan terperinci daripada Jawatankuasa Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), termasuk mendengar pembentangan jawatankuasa tersebut untuk meneliti punca ketidakhadiran dan mencari penyelesaian yang sesuai.
Adly turut mengingatkan bahawa mereka yang dipanggil menyertai PLKN terikat di bawah Akta Latihan Khidmat Negara, dan tindakan boleh diambil jika gagal melaporkan diri tanpa alasan munasabah.
“Sekiranya mereka gagal hadir tanpa alasan kukuh atau bukti kesihatan yang disahkan pakar perubatan, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 18(1),” ujarnya lagi.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri Kedua secara rasmi bermula pada 11 Mei lalu dengan pendaftaran pelatih lelaki dan wanita di dua lokasi berasingan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, pendaftaran berjalan serentak di dua kem rejimen Askar Wataniah, iaitu Rejimen 505 di Pekan, Pahang bagi pelatih lelaki dan Rejimen 515 di Jalan Buku 5, untuk pelatih wanita.
Ya’cob berkata, latihan kali ini dijadualkan berlangsung sehingga 24 Jun ini dengan mengekalkan struktur modul terdahulu tetapi dengan penambahbaikan dalam pelaksanaan termasuk lebih banyak aktiviti amali.
Tambahnya, JLKN turut menerima penyertaan pelatih secara sukarela atau ‘walk-in’, termasuk remaja yang tidak terpilih melalui sistem pemilihan rasmi.
Bagi remaja yang tidak berkesempatan untuk menyertai siri kali ini, Ya’cob berkata, siri ketiga akan berlangsung pada September nanti dan calon berpotensi boleh mula membuat persiapan daripada sekarang.
Sementara itu, JLKN memaklumkan, kegagalan melapor diri tanpa sebab yang sah boleh dianggap sebagai ingkar arahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara.
“Mengikut peruntukan undang-undang berkenaan, individu yang gagal hadir tanpa sebab yang sah boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau keda-duanya sekali,” jelas JLKN lagi.-airtimes.my
Kementerian Pertahanan akan buat penilaian menyeluruh sebelum guna peruntukan undang-undang, kata timbalan menteri.
#pertahanan #PLKN #Malaysia #JKLN #airtimes