PUTRAJAYA, 31 Mei – Malaysia menegaskan komitmennya untuk membanteras sindiket penipuan tawaran pekerjaan di rantau ini, menjadikannya antara agenda utama sepanjang tempoh negara memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan memandang serius terhadap peningkatan kes sindiket jenayah rentas sempadan yang memperdaya rakyat Malaysia dengan tawaran pekerjaan palsu, khususnya di negara-negara jiran.
Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain serta pihak media yang terus memainkan peranan penting dalam membawa isu ini ke perhatian umum.
“Malaysia telah mengambil langkah konkrit untuk membangkitkan isu ini bersama Negara-Negara Anggota ASEAN,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Antara langkah tersebut termasuklah perbincangan dalam Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN yang diadakan di Langkawi pada Januari lalu, di mana para menteri mengulangi komitmen bersama membanteras jenayah rentas negara seperti pemerdagangan orang, jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Kementerian turut menjelaskan bahawa semasa Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Malaysia menekankan keperluan mendesak untuk tindakan kolektif dalam menangani jenayah lintas sempadan yang semakin berleluasa.
“Para Menteri ASEAN telah bersetuju untuk mengkaji semula Pelan Tindakan ASEAN bagi Membanteras Jenayah Rentas Sempadan (2016–2025) dengan tujuan memperkukuh kerjasama serta penyelarasan serantau,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, ASEAN turut menyatakan komitmen untuk mempergiatkan usaha melalui tindakan lebih konkrit dengan memberi keutamaan kepada ancaman pemerdagangan orang dan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di rantau ini.
Menurut Wisma Putra, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) akan memainkan peranan penting dalam memimpin kerjasama penguatkuasaan undang-undang berkaitan isu tersebut.
“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN serta semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat sivil, demi memperkukuh langkah pencegahan, meningkatkan kerjasama serantau dan memastikan perlindungan sewajarnya untuk semua mangsa,” jelas kenyataan itu.
– airtimes.my
#Airtimes #ASEAN2025 #Sindiket #PenipuanPekerjaan #WismaPutra #Malaysia
