LANGKAWI, 23 MEI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) hari ini sepakat menandatangani perjanjian strategik bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
MINDEF dalam satu kenyataan bersama MCMC menegaskan, kerjasama ini merupakan satu inisiatif strategik secara menyeluruh untuk memperkasa keupayaan pemantauan serta kesiapsiagaan pertahanan udara negara.
“Perjanjian ini adalah simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara menerusi penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.
“ Sistem radar yang baharu ini bakal memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia dan secara langsung menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan berkenaan.
Tegas kenyataan itu lagi, pembangunan radar ini akan menjadi titik tolak kepada peningkatan keupayaan operasi udara yang lebih moden dan bersepadu.
“Sokongan ini adalah sejajar dengan pendekatan Whole-of-Government (WoG) yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional,” tambah kenyataan berkenaan.
Mengulas lanjut, radar jarak jauh yang bakal dibangunkan ini dijangka menjadi tulang belakang sistem pemantauan udara strategik negara. Ia dijangka mampu memberikan liputan radar lebih luas, respons lebih pantas terhadap ancaman dan meningkatkan kebolehoperasian antara aset pertahanan udara sedia ada.
Selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan TUDM, inisiatif ini juga melambangkan usaha bersepadu antara sektor awam dan pertahanan dalam membina infrastruktur ketenteraan yang kritikal.
Perjanjian dimeterai oleh Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ‘25). -airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #MINDEF #MCMC #TUDM #Pertahanan