LANGKAWI, 22 MEI – LANGKAWI, 22 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima sebuah kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) jenis Swift Sea Stalker (S3) daripada syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Swiftships, hari ini.
Satu majlis penyerahan telah berlangsung di Pavilion TLDM di Mahsuri International Exhibition Centre dan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin.
Penyerahan rasmi dilakukan antara Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain selaku wakil TLDM dan Naib Presiden Eksekutif Swiftships, Kristina Paskeviciute.
“S3 merupakan sistem tanpa pemandu permukaan laut yang dibangunkan untuk memperluas keupayaan operasi pasukan laut, khususnya dalam bidang pengawasan dan perisikan,
“Platform ini boleh dipasangkan dengan pelbagai sistem persenjataan, menjadikannya aset strategik yang mampu menambah elemen daya cegah dalam operasi ketenteraan laut moden,” kata TLDM dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, TLDM sebelum ini telah memulakan pengoperasian sistem tanpa pemandu menerusi penubuhan Skudaron 601 yang menggunakan pesawat Unmanned Aerial System (UAS) ScanEagle dalam pelbagai misi tinjauan.
“Penerimaan S3 membuka ruang baharu untuk TLDM memanfaatkan teknologi autonomi di medan permukaan laut,
“Langkah ini dilihat sejajar dengan usaha Angkatan Tentera Malaysia menerusi Pelan Pembangunan Angkatan Masa Hadapan yang memberi tumpuan kepada pengaplikasian teknologi canggih dan sistem berautonomi sebagai pelengkap kepada strategi pertahanan negara,” kata kenyataan itu. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #TLDM #Swiftships