Di sebalik kehadiran aset dan peralatan berteknologi tinggi di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025, satu unit dron First Person View (FPV) yang dipasang dengan kepala peledak RPG-7 dipamerkan di reruai Pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Diberi label “Army Kamikaze Drone”, kehadiran dron ini seolah-oleh memberi isyarat bahawa warga pertahanan Malaysia sememangnya mengambil inisiatif dengan mengambil berat akan arus perkembangan konflik global.
Perkataan ‘kamikaze’ sememangnya menjadi perhatian memandangkan ianya berasaskan serangan ‘berani mati’ yang berkait rapat dengan tentera Jepun pada lewat Perang Dunia Kedua. Malah, istilah kamikaze drone membawa makna tersendiri di mana dron digunakan sebagai senjata pemusnah.
Melihat kepada unit yang dipamerkan, dron tersebut dibina berasaskan kerangka quadcopter komersial, tetapi diubahsuai untuk membawa kepala peledak peluru RPG-7.
Pada bahagian atasnya dron ini, kelihatan pek bateri dan peralatan kawalan radio serta kamera FPV, komponen utama yang membolehkan pengendali melihat terus dari perspektif dron seolah-olah berada dalam kokpit.
Konsep dron FPV kamikaze bukan lagi sesuatu yang asing dalam dunia ketenteraan. Ia telah terbukti sebagai sistem senjata yang berkesan, murah dan sukar dikesan dalam pelbagai konflik global. Penggunaannya sangat ketara dalam perang Ukraine, di mana kedua-dua pihak menggunakan ribuan dron FPV untuk menyerang kenderaan, kedudukan artileri, bahkan infantri musuh dengan ketepatan tinggi.
Tidak seperti dron serangan konvensional yang menggunakan sistem navigasi satelit atau sistem kawalan autonomi, dron FPV dikawal secara langsung oleh operator manusia melalui alat kawalan dan skrin FPV. Ini membolehkan serangan dilakukan secara taktikal, dengan keupayaan mengubah haluan dalam masa nyata dan mengelak halangan secara visual.

“Army Kamikaze Drone” merupakan antara inovasi yang dipamerkan di Pavilion MINDEF di LIMA 2025. Foto: M Daim
Dalam kes dron yang dipamerkan ini, kehadiran kepala peledak RPG menunjukkan potensi untuk dijadikan senjata loitering munition. Walaupun masih belum jelas sama ada sistem ini sedang diuji untuk kegunaan sebenar oleh Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Darat Malaysia, penampilannya di reruai rasmi Kementerian Pertahanan menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap teknologi ini.
Dari segi kos dan keberkesanan, dron FPV menawarkan alternatif kepada peluru berpandu berpandu mahal atau sistem senjata berat. Sebuah dron komersial yang diubah suai boleh menelan belanja sekitar RM1,000 hingga RM5,000 sahaja, tetapi mampu memusnahkan kenderaan bernilai ratusan ribu ringgit.
Lebih penting, ia memberikan kelebihan asimetri kepada pasukan yang mempunyai sumber terhad, seperti yang dibuktikan dalam konflik Ukraine, Syria dan Libya. Dalam sesetengah serangan, dron FPV digunakan untuk menjatuhkan bom tangan, melaksanakan serangan bunuh diri atau mengganggu laluan logistik musuh.
Bagi Malaysia, penglibatan dalam teknologi ini memberi peluang untuk mengkaji dan membangunkan sistem taktikal rendah kos yang sesuai untuk digunakan dalam operasi khas, misi pertahanan sempadan atau penugasan urban. Ia juga membuka ruang kepada penyelidikan lanjut dalam aspek elektronik, pemprosesan video dan sistem kawalan jauh.
Namun, seperti semua teknologi baharu, ia datang dengan risiko dan keperluan dasar jelas. Penggunaan dron sebagai senjata mesti dibangunkan di bawah kerangka operasi yang ketat, memastikan ia digunakan mengikut doktrin ketenteraan yang bertanggungjawab serta selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Tambahan pula, penggunaan dron FPV mampu dibendung dengan menggunakan sistem anti dron yang sedang dipasarkan oleh pihak tertentu di peringkat antarabangsa. Pun begitu, melihat kepada perkembangan di Eropah Timur, dron FPV telah dikawal dengan menggunakan kabel fiber optik bagi mengatasi sistem anti dron.
Kehadiran dron kamikaze FPV di LIMA 2025 mencerminkan satu era baharu dalam peperangan simetri dan tidak simetri. Dari sekadar peralatan permainan atau alat rakaman, dron kini menjadi instrumen maut di medan tempur. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #teknologipertahanan #TenteraDaratMalaysia