LANGKAWI, 20 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Segmen Maritim sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA ’25) di Resorts World Langkawi.
Gimik perasmian kali ini menyaksikan penyusupan oleh anggota penyelam taktikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjun daripada pesawat dan tiba di hadapan pentas dengan membawa kotak hitam berisi kad slot untuk diaktifkan Perdana Menteri.
Demonstrasi seterusnya mempamerkan keupayaan bot-bot dan luncur jet (jet ski) daripada pelbagai agensi maritim yang melakukan pergerakan taktikal.
Selain TLDM dan PDRM, turut terlibat adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perikanan.
Perdana Menteri turut dipertontonkan demonstrasi keupayaan maritim menggunakan konsep inter-agency coordinated rescue mission yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM, Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) Maritim Malaysia dan Jabatan Laut bersama aset permukaan dan udara.
Adegan terakhir adalah lintas hormat (fly-past dan sail-past) yang melibatkan aset udara dan permukaan yang terlibat sepanjang sesi demonstrasi sebagai penghormatan kepada para tetamu yang hadir di pentas utama.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Acara diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Anwar turut berkesempatan menghadiri program Fleet Review iaitu tradisi ketenteraan laut yang berlangsung di atas Kapal Diraja (KD) PERANTAU.
Acara ini melibatkan 31 kapal pelbagai negara dan agensi. Perdana Menteri menerima tabik hormat daripada setiap kapal yang mengambil bahagian, termasuk 14 kapal TLDM, lima daripada APMM dan 12 kapal dari angkatan laut 10 negara luar seperti Jepun, Rusia, AS, Turkiye, Itali dan India.
Majlis berprestij ini turut diserikan dengan persembahan lintas hormat melibatkan aset TLDM, APMM dan PDRM.
Penganjuran LIMA ’25 kali ini memberi penekanan kepada peranan Malaysia sebagai negara maritim serta hab global dalam industri maritim dan aeroangkasa.
TLDM selaku agensi utama Segmen Maritim LIMA ’25 menggariskan betapa pentingnya keselamatan dan kestabilan maritim sebagai tunjang kepada kestabilan ekonomi serta kesejahteraan negara.-airtimes.my
Perdana Menteri dipertontonkan demonstrasi keupayaan maritim dengan mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (PASKAL), Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) serta Jabatan Laut.
#pertahanan #airtimes #LIMA25 #Langkawi #Malaysia #keselamatan