Esok, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 yang dinanti-nantikan akan bermula.
Belum pun membuka tirainya, namun harapan besar telah diletakkan pihak-pihak berkepentingan untuk menjadikan edisi penganjuran kali ini sebagai yang paling hebat.
Bertemakan ‘Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’, LIMA ’25 akan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Langkawi pada 20 hingga 24 Mei.
Segment maritim pula bertempat di Resort World Langkawi dan perairan sekitarnya di mana kapal-kapal perang berlabuh.
Acara kali ini memberi penekanan kepada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.
Pihak Global Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd. (GEC) merupakan penganjur LIMA 2025 yang juga edisi ke-17 bersama-sama Kementerian Pertahanan (Mindef).
Cuma kali ini tiada penyertaan Kementerian Pengangkutan sebagai penganjur bersama sepertimana pada edisi lalu.
Selepas penganjuran LIMA 2023, kerajaan Madani menjangkakan LIMA 2025 mencatat kehadiran pengunjung paling tinggi sepanjang sejarah penganjurannya.
Manakala nilai potensi jualan juga disasarkan melepasi rekod sama.
Bagaimana pun, tidak dinyatakan secara spesifik angka jualan yang disasar, malah tidak juga menyebut berapa jualan pertahanan dan juga komersial.
Jika sasaran jualan ini dijangka meningkat, bermakna ada pembelian baharu yang bakal diumumkan kerajaan di Langkawi nanti. Apakah pembelian tersebut?
Sebaliknya jika ia hanya angka jualan potensi, ini tidaklah boleh dikira sebagai suatu perolehan.
Sebenarnya, semua penganjur dan kerajaan yang terlibat menganjurkan LIMA sebelum-sebelum ini meletakkan hasrat menjadikan edisi masing-masing sebagai paling hebat.
Pihak penganjur pula menjadikan angka terbesar, ruang pameran paling luas dan kehadiran teramai sebagai kayu pengukur kehebatan penganjuran.
Cerita tentang kehebatan ini juga kemudiannya menjadi tajuk yang terpampang pada dada akhbar termasuk dilaporkan portal-portal berita.
Jika mengambil kira LIMA 2025 dan dua edisi LIMA lepas, acara ini diadakan di bawah tiga Menteri Pertahanan (Menhan) yang berbeza.
Mohamad Sabu sebagai Menhan pada LIMA 2019, kemudian Dato’ Seri Mohamad Hasan (LIMA 2023) dan kini Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.
Semasa LIMA 2023, penganjurnya mengumumkan acara ini sebagai penganjuran terbesar apabila pelbagai perjanjian pertahanan dan komersial bernilai RM17.4 bilion berjaya ditandatangani.
Sebanyak RM10.128 bilion adalah kontrak pertahanan.
Ia mencatat penyertaan tertinggi membabitkan 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia manakala lebih 100,000 pengunjung awam hadir menyaksikan pameran LIMA 2023.
Pameran juga disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut.
Semasa LIMA 2019, pihak penganjur juga mengumumkan edisi tersebut sebagai yang paling baik apabila mencatatkan kehadiran pengunjung mencecah 279,000 orang.
Seramai 42,030 pula adalah pengunjung perdagangan dengan penambahan seramai 2,000 orang berbanding edisi sebelum ini. Kehebatan LIMA 2019 dicanang habis-habisan.
LIMA 2017 pula menyaksikan lebih 180,000 pengunjung, berbanding kira-kira 175,000 pengunjung semasa LIMA 2015.
Sebenarnya, jika jumlah kehadiran pengunjung dijadikan kayu pengukur, fakta tersebut ada kebenarannya kerana aspek kemampuan orang ramai untuk bertandang ke Langkawi berubah.
Berbanding 20 tahun lalu, pelancong domestik adalah sesuatu yang mewah dan tidak mampu dibiayai kebanyakan orang.
Tambah pula kos untuk datang dari tanah seberang ke Langkawi bukan kecil manakala kemudahan tempat tinggal terutamanya homestay dan hotel bajet di sana sangat kurang berbanding hari ini.
Kini pelancongan domestik berada dalam kawalan mampu poket, justeru ini turut menyumbang kepada jumlah kehadiran pengunjung yang meningkat pada LIMA tahun demi tahun.
Persekitaran Langkawi juga telah jauh berubah dengan rumah penginapan muncul seperti cendawan selepas hujan.
Berbalik kepada LIMA 2025, sepertimana biasa, tarikan utama acara ini adalah pada segmen pameran udara dan pertunjukan aerobatik.
Kira-kira 102 pesawat disahkan penganjur menyertai LIMA dengan 38 buah melakukan pameran statik manakala tiga pasukan aerobatik antarabangsa mengesahkan penyertaan.
Bagi segmen maritim pula, sebanyak 35 kapal tentera laut dari pelbagai negara akan berlabuh di perairan Langkawi.
Antaranya seperti ITS Antonio Marceglia (Itali), JS Yahagi (Jepun), TCG Büyükada (Turkiye), RSS Steadfast (Singapura) dan USS Lenah Sutcliffe Higbee (Amerika Syarikat).
Selebihnya milik Tentera Laut Pakistan, Indonesia, India, Rusia, Thailand dan Bangladesh.
Pelbagai demonstrasi maritim yang bakal dipersembahkan nanti tidak kurang hebat dan mendebarkan.
Semoga penganjuran LIMA 2025 berjalan dengan lancar, segalanya mengikut sepertimana dirancang dan mencapai matlamat menjadi edisi yang terbaik berbanding sebelumnya. – airtimes.my