KUALA LUMPUR, 13 MEI – Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan, Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia pada Isnin, yang menyifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah keadilan serta pertanggungjawaban terhadap mangsa dan keluarga mereka.
“Keputusan ini adalah satu langkah penting dalam usaha mencari kebenaran dan menuntut keadilan bagi semua mangsa MH17 serta ahli keluarga mereka,” kata Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp dalam satu kenyataan.
Beliau berkata lagi, Belanda dan Australia akan terus mendesak agar Majlis ICAO mengarahkan Rusia untuk memulakan rundingan berkaitan pembayaran pampasan.
“Kami meminta Majlis ICAO mengenakan kewajipan ke atas Persekutuan Rusia untuk memulakan rundingan dengan Belanda dan Australia mengenai perkara ini serta menyelia proses tersebut,” menurut Kementerian Luar Belanda dalam kenyataan.
Menurutnya, keputusan ICAO ini memberi mesej jelas bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.
Sementara itu, Menteri Luar Australia, Penny Wong turut menyokong keputusan itu dengan menggesa ICAO mempercepatkan proses menentukan bentuk ganti rugi yang sewajarnya.
“Kami menyeru Rusia supaya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan keganasan yang dahsyat ini dan memenuhi kewajipan antarabangsa untuk membayar pampasan,” tegas beliau.
Kes terhadap Rusia dibawa ke ICAO pada tahun 2022 oleh kerajaan Belanda dan Australia, yang sejak awal konsisten menuntut keadilan dalam tragedi MH17.
Susulan, insiden itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warganegara Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia pada 2014.
Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Terdahulu, mahkamah di Belanda pada November 2022, telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap dua rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine atas kesalahan membunuh, walaupun ketiga-tiga tertuduh tidak hadir dalam perbicaraan.
Bagaimanapun, Rusia ketika itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai “memalukan” dan enggan mengekstradisi warganya.
Pertubuhan ICAO yang beribu pejabat di Montreal, tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan undang-undang, namun memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai oleh majoriti 193 negara anggotanya. -airtimes.my
#Airtimes #MH17 #ICAO #Rusia #Malaysia