Singapura kini mempunyai lebih ramai pegawai kanan berbangsa Melayu dalam semua cabang angkatan tenteranya berbanding tahun-tahun terdahulu.
Perkara tersebut dinyatakan seorang ahli politik republik tersebut, Zaqy Mohamad yang juga merupakan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia).
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) Singapura bagi podcast NoTapis BHerbual pada 29 April yang kemudian disiar dalam portal media berkenaan.
Berita portal itu bertajuk, ‘Zaqy: Lebih ramai Melayu diwakili dalam semua unit SAF; pegawai kanan Melayu bukti cemerlang’.
Memetik laporan tersebut menurut Zaqy, orang Melayu kini ada dalam semua unit Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan bilangannya telah meningkat.
“Hari ini jika kita melihat pencapaian anak-anak Melayu, kita melihat mereka semua berada dalam semua unit – tentera darat, RSAF, RSN dan juga dalam unit Perkhidmatan Digital dan Perisikan yang ditubuhkan baru-baru ini.
“Kita melihat para pegawai (Melayu) hari ini berkebolehan dan setaraf dengan pegawai kanan dalam SAF,” kata beliau.
Beliau menyebut beberapa pegawai Melayu yang cemerlang dalam SAF.

Leftenan Muda Zakiah Huda Sapari, pegawai wanita pertama dalam sejarah Sekolah Kadet Pegawai (OCS) SAF yang memimpin Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet. Foto: MINDEF Singapura
Antaranya Komander Divisyen Singapura Kesembilan dan Ketua Infantri, Kolonel Fairoz Hassan; Komander Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC), Kolonel Muhammad Helmi Khaswan dan juruterbang jet pejuang F-15SG, Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman.
Wanita Melayu turut mencipta sejarah dalam SAF seperti Leftenan Iffa Daniesha Mohamad Raihan Hafidz, wanita Melayu pertama dilantik sebagai pegawai tentera laut Singapura.
Begitu juga Leftenan Muda Zakiah Huda Sapari, pegawai wanita pertama dalam sejarah Sekolah Kadet Pegawai (OCS) SAF yang memimpin Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet.
Jelas Zaqy lagi, kejayaan anak-anak Melayu itu dalam SAF berdasarkan meritokrasi dan bukannya sebagai tanda lambang atau tokenism semata-mata.
Anak-anak Melayu hari ini lebih berpendidikan dan berkebolehan, masyarakat dapat melihat lebih ramai yang layak bagi pelbagai tugasan, jawatan dan kerjaya.
Dalam berita tersebut, Zaqy turut ditanya soalan berapa ramaikah bilangan Melayu yang ada dalam SAF secara keseluruhan.

Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman merupakan juruterbang jet pejuang F-15SG. Foto: MINDEF Singapura
Bagaimana pun, menteri tersebut tidak dapat mendedahkannya kerana ia adalah ‘isu sensitif’ dan merupakan ‘rahsia negara’.
Pada 2016, Singapura buat pertama kalinya mempunyai dua pegawai Melayu sepenuh masa dalam SAF yang berpangkat Kolonel iaitu pegawai Melayu tertinggi dalam angkatan tentera sedang bertugas.
Mereka ialah Kol Mohd Fahmi Aliman sebagai Komander Pusat Penilaian Latihan Tentera (ATEC) dan Kol Zakir Hamid, Komander Kumpulan Pengangkutan RSAF.
BH Singapura pada 15 Februari 2015 melaporkan, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen mendedahkan bahawa SAF telah mengerah askar Melayu yang sedia berkhidmat di atas kapal tentera laut sebagai kelasi.
Menurut Dr Ng lagi, orang Melayu kini berkhidmat dalam pasukan tentera darat, laut dan udara, sambil menambah bahawa dengan bilangan penduduk Singapura yang kecil, SAF tidak mendiskriminasi terhadap sesiapa dan menaikkan pangkat anggota perkhidmatan berdasarkan keupayaan mereka.
Adalah diketahui SAF tidak secara terbuka menerbitkan statistik rasmi mengenai bilangan atau peratusan anggota Melayu dalam tenteranya.
Seringkali juga perbincangan secara terbuka tentang isu penyertaan orang Melayu dalam SAF dianggap sebagai topik yang sensitif untuk diperkatakan di Singapura.
Sebelum dekad ini juga penyertaan anggota Melayu dalam pasukan Komando Singapura adalah terhad berbanding unit elit lain seperti Guards.
Berdasarkan data umum, difahamkan SAF mempunyai kira-kira 51,000 anggota aktif yang mana komponen terbesar ialah tentera darat iaitu kira-kira 40,000 anggota tetap.
Selebihnya adalah bagi RSAF dan RSN.
Tunjang utama SAF ialah kira-kira 252,500 anggota simpanan (NSmen) iaitu mereka telah menamatkan tempoh Perkhidmatan Negara (NS) dan bersedia untuk dipanggil semula jika diperlukan.
Setiap tahun republik itu mempunyai kira-kira 50,000 belia yang mencapai usia wajib untuk menyertai program NS sebagai tentera kerahan.
Bagaimana pun, di Singapura dikatakan ramai pegawai Melayu bertugas dalam pasukan pertahanan awam (Civil Defence) yang mana kecekapan pasukan itu disifatkan sebagai antara yang terbaik di rantau ini.-airtimes.my
#Singapura #Malaysia #Melayu #airtimes