KUALA LUMPUR, 10 Mei – Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara berlangsung dengan penuh istiadat serta tradisi ketenteraan di hadapan Pintu 1, Istana Negara hari ini, melambangkan kesinambungan taat setia pasukan keselamatan kepada Raja dan Negara.
Upacara ini menyaksikan pertukaran tanggungjawab kawalan keselamatan daripada kumpulan pengawal lama kepada kumpulan pengawal baharu melibatkan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (21 SIB).
Istiadat ini disaksikan oleh Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div), Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Pegawai Memerintah 1 RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali berkata, istiadat ini bukan sekadar acara simbolik tetapi mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan komitmen anggota tentera dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan kehormatan institusi diraja.

Pegawai Memerintah 1 RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali berkata istiadat ini merupakan simbolik taat setia anggota tentera kepada raja dan negara serta institusi diraja. Foto: AirTimes/Pasri
“Ia adalah warisan yang menunjukkan simbol taat setia kepada Raja dan Negara. Pada zaman dahulu, istana dikawal oleh para hulubalang. Kini, tugas itu diteruskan oleh anggota tentera melalui istiadat rasmi ini,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara, hari ini.
Menurut beliau, pasukan pengawal lama terdiri daripada dua pegawai dan 39 anggota manakala pasukan pengawal baharu terdiri daripada dua pegawai dan 40 anggota 1 RAMD.
Turut serta ialah dua pegawai dan 22 anggota bersama kuda dari Skuadron Istiadat Berkuda.

Barisan Pengawal lama Istana Negara yang terdiri daripada 39 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang diketuai Kapten Muhammad Hazwan Mohd Zain. Foto: AirTimes/N.Huda
Sementara itu, Pegawai Pemerintah SIB, Leftenan Kolonel Syahrul Azudin Maulud berkata, latihan intensif telah dilakukan di Kem Sungai Buloh bagi memastikan kelancaran istiadat.
Tambahnya, sebanyak 10 ekor kuda ditempatkan di Istana Negara secara tetap sebagai pengawal statik berkuda.

Pegawai Pemerintah Skuardron Istiadat Berkuda (SIB), Leftenan Kolonel Syahrul Azudin Maulud berkata, sebanyak 10 ekor kuda ditempatkan di Istana Negara sebagai pengawal statik berkuda. Foto: AirTimes/N.Huda
“Kebanyakan kuda yang digunakan adalah dari baka Eropah seperti Warmlut dari Belanda, yang sememangnya sesuai untuk tugas-tugas istiadat,
“Kami mula melatih kuda seawal usia empat hingga enam tahun, dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk membiasakan mereka dengan cuaca serta suasana di Malaysia,” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, kesihatan kuda dipantau setiap hari oleh pegawai veterinar bagi memastikan hanya kuda dalam keadaan terbaik dibenarkan bertugas.

Pegawai dan anggota 21 SIB bersama kuda mengambil tugas sebagai Pengawal Istana Negara yang baharu. Foto: AirTimes/N.Huda
Istiadat ini yang pertama bagi tahun ini akan diikuti oleh dua siri lagi, tertakluk kepada kelulusan pihak Istana.
Sejarah istiadat ini bermula pada tahun 1959 antara Pasukan 5 RAMD dan 6 RAMD, sebelum 1 RAMD mengambil alih peranan pada tahun 1986.
Pada tahun 1994, istiadat ini buat pertama kali dipertontonkan kepada umum, dan sejak tahun 2012, ia mula dilaksanakan di lokasi baharu Istana Negara di Jalan Duta.
Sebelum pandemik COVID-19, istiadat ini dilaksanakan dua kali sebulan, namun kini ia hanya diadakan tiga kali setahun sebagai langkah berjaga-jaga kesihatan.

Anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan Skuadron Istiadat Berkuda (SIB) di bawah naungan Markas 12 Briged bergambar pada Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara hari ini. Foto: AirTimes/N.Huda
Dengan pelaksanaan istiadat yang berterusan, ia bukan sahaja menjadi simbol kehormatan ketenteraan, malah terus memperkukuh hubungan antara rakyat, tentera dan institusi diraja negara.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #DaulatTuanku #1RAMD #SIB #TDM #ATM #pengawalistana