JERUSALEM, 9 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan telah memutuskan hubungan secara langsung dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, susulan dakwaan beliau telah dimanipulasi oleh pemimpin Israel berkenaan.
Perkara ini didedahkan oleh wartawan Radio Tentera Israel, Yanir Cozin, menerusi hantaran di akaun X miliknya.
Menurut beliau, keputusan Trump itu dibuat selepas beberapa individu rapatnya memaklumkan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer, bahawa Presiden AS itu percaya Netanyahu mempergunakannya.
“Ia menjadi lebih parah apabila Dermer bercakap dengan tokoh kanan Parti Republikan dengan nada angkuhnya yang biasa tentang apa yang Trump ‘mesti’ lakukan. Individu rapat Trump kemudiannya memaklumkan bahawa Netanyahu sedang memanipulasinya.
“Dan tiada perkara yang lebih dibenci Trump daripada digambarkan sebagai mangsa tipu daya atau orang yang sedang dipermainkan, jadi beliau membuat keputusan untuk memutuskan hubungan. Keadaan ini mungkin berubah, tetapi buat masa ini, inilah situasinya,” ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu menyusul ketika hubungan antara Washington dan Tel Aviv dilaporkan semakin tegang, terutamanya selepas kegagalan kerajaan Israel membentangkan pelan konkrit berkenaan krisis Iran dan ancaman daripada kumpulan Houthi di Yaman.
Menurut laporan, pentadbiran Netanyahu juga gagal mengemukakan cadangan jelas mengenai masa depan Gaza, yang menjadi salah satu faktor utama kemerosotan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sekutu itu.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Netanyahu berikrar bahawa Israel akan ‘mempertahankan diri sendiri’ tanpa bantuan pihak lain susulan perjanjian mengejut antara Trump dan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Malah, perjanjian gencatan senjata antara AS dan Houthi itu hanya diumumkan beberapa jam selepas serangan besar-besaran tentera Israel ke atas lapangan terbang antarabangsa Yaman serta kemudahan lain. Perjanjian berkenaan turut didakwa dimeterai tanpa memaklumkan Tel Aviv, sekali gus mencetus ketegangan apabila Houthi menyatakan serangan terhadap Israel akan diteruskan.
Menurut Trump, AS bersetuju menghentikan operasi ketenteraan terhadap kumpulan itu sebagai balasan kepada janji Houthi untuk memberhentikan serangan ke kapal-kapal dagang AS di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab. – airtimes.my
#Global #AS #Trump #Netanyahu