Ketika dunia sedang sibuk memerangi Nazi dan fasisme pada awal abad ke-20, satu kumpulan elit dari Britain diam-diam menjalankan misi sulit untuk musuh dari Timur Kesatuan Soviet.Mereka bukan penjenayah biasa, bukan ejen upahan jalanan, tetapi anak muda berpendidikan tinggi dari Universiti Cambridge yang merupakan salah satu institusi pendidikan berprestij di dunia.
Mereka ini lah yang dikenali sebagai Cambridge Five atau terdiri daripada lima lelaki warga British yang menjadi mata-mata untuk agensi perisikan Kesatuan Soviet iaitu KGB.Mereka bergerak secara senyap dalam sistem kerajaan Britain dan menyalurkan maklumat penting kepada Kesatuan Soviet selama beberapa dekad tanpa disedari oleh rakan-rakan mereka sendiri.
Anggota kumpulan ini ialah Kim Philby, Donald Maclean, Guy Burgess, Anthony Blunt, dan seorang lelaki dengan watak misteri tetapi dipercayai masyarakat iaitu John Cairncross.Kesemua mereka direkrut oleh Soviet ketika masih berada di Cambridge sekitar tahun 1930-an semasa mereka masih muda dan penuh idealisme.
Zaman itu merupakan tempoh di mana ramai anak muda Eropah hilang kepercayaan terhadap sistem kapitalis yang dianggap gagal menangani kemiskinan dan peperangan.
Sebaliknya, mereka melihat komunisme sebagai alternatif yang lebih adil dan progresif. Cambridge menjadi tempat subur untuk ideologi ini disemai dan KGB mengambil peluang itu untuk merekrut ejen dari kalangan pelajar pintar yang dipercayai akan menyertai kerajaan British suatu hari nanti.
Jangkaan KGB ketika itu tepat, kerana selepas tamat pengajian, kelima-lima individu ini menyertai pelbagai jabatan penting kerajaan. Philby menyertai MI6, agensi risikan luar British.Manakala, Maclean berkhidmat di Pejabat Luar Negeri dan terlibat dalam hubungan antarabangsa termasuk hal berkaitan Amerika Syarikat (AS). Burgess, walaupun dikenali sebagai seorang yang agak pelik dan tidak berdisiplin, turut berada dalam sistem diplomatik.

Ahli Cambridge Five yang menjadi agen perisik kepada Soviet Union
Blunt pula menjadi penasihat seni Istana Buckingham dan memiliki akses kepada maklumat penting, serta Cairncross, seorang pakar bahasa dan kod, bekerja dalam bidang penyulitan dan komunikasi rahsia kerajaan.Dengan kedudukan mereka itu, maklumat sulit kerajaan Britain termasuk strategi North Atlantic Treaty Organization (NATO), pergerakan tentera, nama ejen perisik di Eropah Timur, dan perancangan operasi rahsia semuanya bocor kepada KGB.
Banyak operasi risikan Barat ketika itu dianggap gagal akibat maklumat yang dibocorkan oleh kumpulan ini. Malah, beberapa perisik Barat yang menyamar di negara komunis ditangkap dan dibunuh akibat pengkhianatan mereka.Apa yang lebih mengejutkan, mereka tidak melakukannya kerana wang sepertiman kebanyakan pengintip lain yang sanggup menggadai rahsia negara kerana dibayar.
Cambridge Five bertindak atas dasar ideologi. Mereka benar-benar percaya bahawa komunisme lebih baik daripada sistem yang diamalkan oleh negara mereka sendiri.Mereka juga menganggap diri mereka sebagai pejuang keadilan walaupun hakikatnya, tindakan mereka menyebabkan banyak nyawa terkorban dan merosakkan kepercayaan antara sekutu Barat.
Selepas pengkhianatan mereka terhadap British mula terdedah, Philby akhirnya melarikan diri ke Moscow pada tahun 1963 selepas hampir ditangkap. Di sana, dia disambut sebagai wira, tetapi hidupnya berakhir dalam kemurungan dan alkoholisme.Maclean dan Burgess juga melarikan diri ke Soviet lebih awal, manakala Blunt didedahkan sebagai pengintip pada tahun 1979 tetapi tidak dihukum kerana telah diberikan imuniti, Cairncross pula mengaku menjadi ejen tetapi tidak pernah dihadapkan ke mahkamah.
Kisah Cambridge Five ini telah menggemparkan Britain ketika itu dan menjadi pengajaran besar kepada dunia perisikan.Ia menunjukkan bahawa musuh bukan sahaja datang dari luar, tetapi juga boleh muncul dari dalam, lebih-lebih lagi apabila individu merupakan seseorang yang berpangkat dan kelihatan boleh dipercayai tetapi menyimpan agenda tersembunyi.
Dalam era moden yang penuh cabaran terhadap keselamatan siber dan peperangan maklumat, kisah Cambridge Five masih relevan. Pengkhianatan boleh berlaku dalam bentuk yang berbeza, mungkin bukan lagi melalui penghantaran dokumen sulit, tetapi melalui kebocoran data, sistem yang digodam, atau pegawai yang berpaling tadah atas dasar politik atau ideologi.
Akhirnya, apa yang dilakukan oleh Cambridge Five menjadi amaran jelas bahawa kepercayaan ialah aset paling bernilai dalam dunia keselamatan, dan apabila ia disalahgunakan, kesannya boleh menghantui negara selama beberapa generasi. -airtimes.my
#CambridgeFive #Perisik #KGB #SovietUnion #British #SejarahPerisikan #airtimes