BEIJING, 6 MEI – China dan Jepun saling menuding jari atas dakwaan pencerobohan ruang udara di sekitar kepulauan yang dipertikaikan di Laut China Timur, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik baharu antara dua kuasa besar Asia itu.
Insiden tercetus pada 3 Mei apabila sebuah helikopter milik Pengawal Pantai China (CCG) dikerahkan untuk memintas pesawat awam Jepun yang didakwa memasuki ruang udara berhampiran sebuah kepulauan yang dikenali sebagai Diaoyu oleh China dan Senkaku oleh Jepun.
Menurut kenyataan Kementerian Luar China bertarikh 4 Mei, Beijing mengemukakan “perwakilan tegas” kepada pegawai kanan Kedutaan Jepun di Beijing, dan menyifatkan tindakan Jepun itu sebagai “pencerobohan haram yang melanggar undang-undang antarabangsa”.
Jurucakap CCG, Liu Dejun mendakwa, pesawat awam Jepun itu memasuki ruang udara Kepulauan Diaoyu pada jam 11:19 pagi dan beredar lima minit kemudian. Justeru, sebuah helikopter telah dilancarkan dari kapal CCG bagi mengusir pesawat terbabit.
Sebagai tindak balas, Jepun turut membalas dengan bantahan rasmi melalui Timbalan Ketua Menteri Luar Negeri, Akira Yokochi, kepada Duta China ke Jepun, Wu Jianghao.
“Pada 4 Mei, Akira Yokochi menolak pendirian sepihak yang dinyatakan oleh Liu Jinsong, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia, Kementerian Luar China berhubung Kepulauan Senkaku. Merujuk kepada insiden pada 3 Mei, di mana empat kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan wilayah Jepun di sekitar Kepulauan Senkaku,
“Dan helikopter yang dilancar dari salah satu kapal itu turut melanggar ruang udara Jepun, Jepun sekali lagi mengemukakan bantahan amat serius kepada China dan dengan tegas menuntut agar insiden sebegini tidak berulang lagi.” ujarnya dalam kenyataan dimuat naik di X.
Kementerian Pertahanan Jepun turut mengesahkan, helikopter China itu berada dalam ruang udara Jepun selama kira-kira 15 minit sebelum jet pejuang Pasukan Pertahanan Diri Udara (ASDF) dikerah untuk memintasnya.
Dalam kenyataan berasingan, Duta China ke Jepun menegaskan, tindakan Tokyo membenarkan pesawat awam Jepun memasuki kawasan berkenaan merupakan pelanggaran kedaulatan yang jelas.
China menegaskan, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan undang-undang di perairan dan ruang udara Diaoyu Dao, serta tidak teragak-agak mengambil tindakan balas sekiranya Jepun terus melakukan provokasi.
Untuk rekod, pertikaian ke atas Kepulauan Diaoyu/Senkaku bukan baharu, malah telah lama menjadi punca ketegangan antara China dan Jepun. Meskipun kini ditadbir oleh Tokyo, Beijing tetap mendakwa kepulauan tersebut sebagai sebahagian daripada wilayah asalnya.
China mula secara aktif menuntut kedaulatan ke atas pulau-pulau itu pada awal 1970-an, selepas satu kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan adanya potensi sumber minyak dan gas di kawasan perairan berkenaan.
Walaupun Jepun mendakwa ia telah menggabungkan pulau tersebut secara sah sejak 1895 selepas mendapati ia adalah terra nullius (wilayah yang tidak dituntut) dan bukan sebahagian daripada mana-mana negara, China tetap menegaskan Kepulauan Diaoyu/Senkaku merupakan sebahagian daripada wilayah mereka sejak zaman Dinasti Ming.
Sejak itu, kawasan perairan dan udara di sekitar kepulauan ini sering menjadi lokasi pertembungan antara pasukan pengawal pantai dan aset ketenteraan kedua-dua negara. -airtimes.my
#China #Jepun #tuntut #Global #AirTimes