RAUB, 29 April – Setelah 4 tahun menyumbang jasa kepada lebih 500 penduduk di Kampung Lechar, Ulu Dong, jambatan Compact Bailey kini di lerai semula bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan kekal yang roboh pada Januari 2021.
Jambatan sementara sepanjang 24 meter dan lebar 7.35 meter yang dibina pada 2021 itu, sebelum ini menjadi laluan utama penduduk Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong serta bandar Raub.
Ia runtuh selepas tebing Sungai Dong terhakis akibat arus deras banjir, sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk.
Sebagai langkah segera, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) membina jambatan sementara tersebut atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memulihkan pergerakan penduduk dalam tempoh kritikal pasca-bencana.

Anggota 91 Rejimen Bantuan RAJD melaksanakan kerja-kerja membuka jambatan Compact Bailey 200 di Jalan Lechar, Ulu Dong sejak semalam. Foto: AirTimes/Zul Fadhli
Kini, setelah mendapat kebenaran daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub, anggota 91 RAJD kembali ke tapak bagi menjalankan operasi membuka jambatan Compact Bailey berkenaan sejak semalam.
Anggota dibahagikan kepada dua kumpulan, satu untuk membuka struktur jambatan dan satu kumpulan lagi untuk memuat naik komponen ke kenderaan pengangkut dengan kerja-kerja dijangka siap sepenuhnya lewat malam ini.
Jambatan Compact Bailey 200 yang digunakan ini merupakan aset strategik yang dibekalkan oleh MKN kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) khusus untuk membantu rakyat dalam situasi kecemasan dan bencana.
Pembukaan jambatan ini membuka jalan kepada kerja pembinaan jambatan kekal oleh JKR, sekali gus memastikan laluan utama yang amat penting untuk sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi penduduk Ulu Dong kembali berfungsi dengan lebih baik serta selamat.
Khidmat anggota RAJD ini sekali lagi membuktikan bahawa kehadiran tentera bukan sekadar di medan perang, tetapi turut menjadi ‘wira tanpa seragam’ dalam menghubungkan harapan dan kehidupan rakyat Malaysia.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #jambatan #compactbailey #RAJD #TDM #ATM #NADMA