if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa HD Hyundai Heavy Industries fokus pembangunan USV tempur bersama Tentera Laut Korea Selatan

HD Hyundai Heavy Industries fokus pembangunan USV tempur bersama Tentera Laut Korea Selatan

by M.Daim

SEOUL, 27 APRIL – HD Hyundai Heavy Industries (HD HHI) memperkukuh peranannya dalam arena teknologi pertahanan maritim dengan mengumumkan permulaan rasmi pembangunan Unmanned Surface Vessel (USV) tempur bersama Tentera Laut Republik Korea.

Langkah ini dilihat sebagai satu usaha strategik untuk dalam membentuk kekuatan strategik dan lonjakan teknologi dalam peperangan maritim masa hadapan.

Pada 22 April lalu, HD HHI mengesahkan bahawa mereka telah dianugerahkan kontrak daripada Ibu Pejabat Tentera Laut Korea untuk melaksanakan “Projek Reka Bentuk Konsep USV Tempur”, yang bakal menjadi projek utama tentera laut itu pada masa depan. Berbekalkan kepakaran dalam pembinaan kapal pemusnah AEGIS, syarikat ini akan memimpin pembangunan aset maritim generasi baharu bagi memperkukuh keselamatan laut Korea Selatan.

USV tempur yang dibangunkan ini direka untuk menggantikan kapal berawak dalam melaksanakan misi pengintipan dan pertempuran jarak dekat di zon perairan hadapan. Ia dijangka menjadi komponen teras dalam sistem operasi gabungan kapal berawak dan tanpa awak.

HD HHI akan memulakan mesyuarat rasmi projek dalam bulan ini, dengan tempoh pelaksanaan konsep reka bentuk dijangka mengambil masa kira-kira lapan bulan sehingga Disember 2025. Sepanjang tempoh tersebut, syarikat akan menentukan spesifikasi prestasi, keperluan teknikal, serta strategi perolehan USV tempur.

Dalam projek ini, HD HHI menyasarkan pembangunan penyelesaian misi yang sejajar dengan persekitaran peperangan masa depan yang semakin kompleks, sambil memastikan USV yang direka mencapai tahap kebolehpercayaan dan kecekapan kos melebihi kapal berawak. Syarikat bertekad untuk menerajui pembangunan sistem peperangan gabungan manusia-mesin menerusi projek USV ini.

“Kami amat berbesar hati kerana berjaya memperoleh projek reka bentuk konsep USV tempur ini, yang bakal menjadi tonggak kepada perolehan masa depan Tentera Laut Korea,

“HD HHI akan mengintegrasikan teknologi tanpa pemandu berasaskan kecerdasan buatan (AI), automasi dan elektrifikasi untuk membentuk era baharu USV tempur, sekaligus memacu masa depan angkatan laut gabungan manusia dan mesin,” kata Joo Won-ho, Ketua Bahagian Kapal Khas HD Hyundai Heavy Industries dalam satu kenyataan.

Kerjasama global bersama Anduril Industries

Sebelum ini, HD HHI turut mengukuhkan langkah globalisasi mereka dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Anduril Industries, sebuah syarikat pertahanan teknologi AI yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Perjanjian itu dimeterai pada 4 April di Bangunan Hyundai, Gye-dong, Seoul, melibatkan kehadiran Joo Won-ho serta Brian Schimpf, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Anduril.

Anduril terkenal dengan pengeluaran sistem kawalan misi berasaskan AI, sistem tinjauan dan peninjauan, kenderaan bawah air tanpa pemandu (UUV) serta dron untuk Tentera Laut AS, Jabatan Pertahanan AS dan Kementerian Pertahanan Australia.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan menggabungkan teknologi navigasi autonomi HD HHI dengan sistem autonomi misi Anduril untuk membangunkan USV canggih, selain bekerjasama untuk meneroka pasaran global.

HD HHI akan menumpukan kepada penggabungan teknologi automasi pelayaran, automasi enjin, dan kawalan keselamatan bersepadu, disesuaikan untuk keperluan kapal tentera. Sementara itu, Anduril akan membangunkan sistem autonomi misi yang membolehkan kawalan kelompok dan pelaksanaan misi secara automatik di medan peperangan.

Gabungan teknologi autonomi kapal dan sistem misi ini dijangka bertindak sebagai pusat kawalan bagi USV, memastikan pelaksanaan operasi yang lancar dan pelayaran yang selamat.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Anduril, sebuah syarikat inovatif dalam bidang pertahanan AI, untuk membangunkan kapal tanpa pemandu yang akan membentuk pasaran angkatan laut masa depan,

“Dengan AI canggih, kami ingin mempercepatkan pembangunan kapal yang memerlukan kurang kru dan kapal tanpa pemandu, seterusnya memperkukuh keupayaan eksport pertahanan laut Korea,” ujar Joo Won-ho.

Selain daripada membangunkan USV, HD HHI juga sedang mempergiat usaha untuk mengautomasikan platform kapal berawak sedia ada untuk pasaran domestik dan antarabangsa, sebagai langkah mengatasi isu kekurangan sumber manusia tentera akibat kemerosotan kadar kelahiran.

Pada masa yang sama, syarikat ini aktif memacu daya saing industri pertahanan laut Korea Selatan melalui pemeteraian kerjasama global, pembangunan kemudahan pembinaan kapal tempatan dan standardisasi pakej pemindahan teknologi. – airtimes.my

#AirTimes #HyundaiHeavyIndustries #Teknologi

Related Articles

Leave a Reply