NEW YORK, 24 APRIL – Syarikat pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing mendakwa pelanggan mereka di China enggan menerima penghantaran pesawat baharu yang telah siap dibina susulan ketegangan tarif perdagangan dua hala yang berpanjangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg berkata, isu ini hanya berlaku di China dan pihaknya telah merancang untuk mengalihkan pesawat berkenaan kepada pelanggan lain yang sedang menunggu penghantaran lebih awal.
“Disebabkan tarif, ramai pelanggan kami di China menyatakan mereka tidak akan menerima pesawat tersebut,” katanya dalam sesi pembentangan prestasi kewangan suku pertama syarikat itu semalam.
Mengulas lanjut, dua pesawat 737 MAX 8 yang dihantar ke China untuk diserahkan kepada Xiamen Airlines pada Mac telah dipulangkan semula ke pusat pengeluaran Boeing di Seattle minggu lepas.
Manakala, sebuah lagi pesawat yang dihantar ke Air China juga telah dikembalikan semula ke AS.
Langkah pemulangan pesawat ini berlaku susulan pelaksanaan tarif balas oleh China terhadap barangan import dari AS, termasuk pesawat komersial yang sebelum ini bebas cukai di bawah perjanjian penerbangan awam 1979.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan Boeing, Brian West, China menyumbang sekitar 10 peratus daripada jumlah pesanan pesawat komersial tertunggak syarikat pengeluar pesawat berkenaan.
“Boeing merancang untuk menyerahkan 50 pesawat ke China sepanjang tahun ini. Kami kini menilai semula 41 pesawat yang telah siap atau sedang dalam proses pengeluaran untuk pasaran semula. Pelanggan sudah ramai menelefon, meminta kami pesawat tambahan” jelasnya lapor Reuters.
Ujar beliau, 9 lagi pesawat yang belum dibina akan dikaji semula untuk ditawar semula atau diberikan kepada pelanggan lain.
“Setakat ini, sebanyak 36 pesawat yang dibina untuk pelanggan China berada di AS pada pelbagai peringkat ujian dan pengeluaran. Boeing turut mencatat 130 pesanan belum diselesaikan untuk syarikat penerbangan dan penyewa pesawat berpangkalan di China, termasuk 96 unit model popular 737 MAX,” tambahnnya.
Terdahulu, Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines, dilaporkan sedang dalam rundingan dengan Boeing untuk memperoleh pesawat baharu yang mungkin tersedia sekiranya pelanggan China terus menolak penghantaran.
Menurut laporan Bernama, MAG melihat peluang strategik untuk mempercepatkan pembaharuan armada Malaysia Airlines melalui perolehan pesawat sedia ada yang tidak lagi diambil pelanggan asal. -airtimes.my
#Malaysia #AirTimes # Boeing #Pesawat #China