KUALA LUMPUR, 23 April – Semakan panggilan kemasukan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 kini dibuka bermula dan boleh dilakukan menerusi laman rasmi https://jlkn.mod.gov.my.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memaklumkan, program yang akan berlangsung selama 45 hari bermula 11 Mei hingga 24 Jun 2025 ini akan dilaksanakan di dua lokasi utama iaitu Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur serta Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang.
Menurutnya, seramai 550 orang pelatih dijangka akan mengikuti latihan bagi siri ini, yang mengintegrasikan 70 peratus modul Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus komponen Kenegaraan.
“Bagi modul latihan ketenteraan akan merangkumi kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup berteraskan Malaysia MADANI serta latihan kepimpinan,
“Manakala, komponen kenegaraan pula bertujuan memperkukuh jati diri, semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan peserta,” jelas JLKN dalam kenyataan, pada Selasa.
Sebarang pertanyaan berkenaan program ini boleh diajukan kepada JLKN melalui laman rasmi, talian 03-40133613 / 03-40133618 (Unit Pelatih), atau e-mel ke [email protected].
Terdahulu, seramai 116 pelatih berusia antara 18 hingga 25 tahun telah berjaya menamatkan latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 selama 45 hari yang bermula sejak 12 Januari 2025.
Jumlah ini merangkumi 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita.
Kesemua mereka telah melalui modul latihan yang merangkumi 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan, dengan objektif membentuk belia yang lebih berdisiplin, bermotivasi dan patriotik.
PLKN 3.0 merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan serta cintakan negara, seiring aspirasi Malaysia MADANI.-airtimes.my
#PLKN #pertahanan #Malaysia #PLKN3 #airtimes