KEMBOJA, 23 April – Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan telah dianugerahkan The Royal Order of Sahametrei – Grand Cross, iaitu pengiktirafan tertinggi daripada Kerajaan Kemboja atas sumbangan beliau memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala.
Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, penganugerahan ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Kemboja, Samdech Moha Borvor Thaipadei Hun Manet dalam satu majlis rasmi di Peace Palace, Phnom Penh, bersempena Kunjungan Hormat Panglima Tentera Darat ke Kemboja dari 19 hingga 23 April lalu.
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kepimpinan, komitmen, dan sumbangan TDM amnya dan Panglima Tentera Darat khasnya dalam memperkukuhkan hubungan strategik dan kerjasama ketenteraan antara TDM dan Angkatan Tentera Diraja Kemboja (Royal Cambodian Armed Forces, RCAF),” jelas TDM dalam hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.
Lawatan tersebut menjadi platform penting dalam menyemarakkan hubungan dua hala yang sedia terjalin menerusi inisiatif diplomasi ketenteraan termasuk pertukaran pegawai, latihan bersama serta persefahaman strategik jangka panjang.
Hubungan TDM dan RCAF telah mengalami pelbagai fasa perkembangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan fokus kepada peningkatan keupayaan bersama serta sokongan terhadap kestabilan dan keselamatan serantau.
Majlis berkenaan melambangkan kejayaan diplomasi pertahanan Malaysia, khususnya dalam kolaborasi latihan bersama dan pertukaran profesional yang sekaligus menyerlahkan nilai simbolik serta keakraban hubungan yang terbina antara kedua-dua negara.
Melalui pencapaian ini, TDM terus membuktikan komitmennya dalam memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam memperkukuhkan keselamatan serantau menerusi diplomasi ketenteraan yang matang dan progresif.–airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TenteraDaratMalaysia #DiplomasiKetenteraan #RCAF #Kemboja