KUALA LUMPUR, 15 April – Hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia diatur gerak ke Myanmar sebagai sebahagian daripada misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke negara itu yang dilanda gempa bumi kuat pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua persiapan untuk menghantar hospital medan telah disempurnakan, dan kini hanya menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa Myanmar berhubung lokasi penempatannya.
“Kita sudah bersedia untuk hantar esok (16 April) dan kerajaan telah bersetuju menampung segala keperluan perbelanjaan,
“Kita hanya menunggu pihak Myanmar untuk memberikan lampu hijau mengenai dimana lokasi hospital medan ini hendak diwujudkan. Kalau mereka maklumkan hari ini, esok kita sudah boleh gerakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Kem KEMENTAH, hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Khaled memaklumkan seramai 35 pegawai dan anggota perubatan ATM akan dihantar ke Myanmar susulan permohonan rasmi daripada kerajaan negara itu untuk mendapatkan bantuan perubatan kecemasan.
Hospital medan berkenaan akan memfokus kepada rawatan ortopedik dan trauma, termasuk pembedahan kecemasan bagi membantu mangsa yang mengalami kecederaan serius seperti patah tulang, sekaligus mengelakkan risiko kecacatan kekal.
Selain memberi rawatan, pasukan perubatan ATM juga akan menjalankan latihan serta berkongsi kepakaran bersama petugas kesihatan tempatan bagi memperkukuh keupayaan sistem kesihatan di negara tersebut.
Pada Sabtu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata kerajaan bersetuju menghantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar termasuk hospital medan dan pasukan perubatan.
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah meluluskan secara dasar penghantaran hospital medan itu sebagaimana bantuan sama yang pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini.
Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda wilayah tengah Myanmar pada 28 Mac lalu mengorbankan lebih 300 nyawa, mencederakan ribuan mangsa dan menyebabkan kemusnahan besar di beberapa kawasan termasuk Magway, Bago dan Mandalay.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #hospitalmedan #ATM #Myanmar #Malaysia