KUALA LUMPUR, 8 Apr – Kepulangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari misi gempa bumi di Myanmar disambut penuh penghargaan oleh komuniti Myanmar di Malaysia yang menganggap mereka sebagai wira kemanusiaan.
Sebaik tiba di Markas SMART pada Isnin, pasukan tersebut disambut dengan bunga, cenderamata dan sepanduk tertera ucapan ‘Welcome Home Our Heroes – SMART Team. Thank You For Helping Our People’ oleh wakil Gabungan Etnik Burma Malaysia (COBEM) serta warga Myanmar daripada tujuh kumpulan etnik berbeza.
“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bersyukurnya kami kepada pasukan SMART kerana bertindak begitu cepat terhadap bencana ini,” kata James La Seng, wakil COBEM.
Menurut beliau, cabaran operasi di Myanmar sangat besar berikutan infrastruktur yang rosak dan kekangan logistik akibat perang saudara yang masih berlarutan.
“Lebih menyentuh hati, mereka mengorbankan perayaan Hari Raya untuk membantu rakyat kami,” katanya.
Kehadiran pasukan SMART bukan sahaja membawa bantuan fizikal, tetapi juga harapan buat rakyat Myanmar yang berdepan situasi kemanusiaan yang semakin meruncing.

Sekumpulan rakyat Myanmar dari pelbagai etnik dan ahli pasukan SMART bergambar bersama di pintu masuk ke Markas SMART. Foto: COBEM
“Saya rasa begitu tidak berdaya ketika gempa bumi berlaku. Rakyat kami sudah lama menderita di bawah pemerintahan junta, dan kini ribuan masih hilang atau terperangkap dalam runtuhan,
“Kami sangat tersentuh dengan kemanusiaan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh pasukan SMART,” kata Jaw Tu Hkawng, seorang pelarian etnik Kachin.
Terdahulu, ketika umat Islam di Malaysia bersiap menyambut Hari Raya Aidilfitri, pasukan SMART telah diatur gerak ke Myanmar bagi menjalankan misi menyelamat susulan tragedi gempa bumi kuat yang melanda wilayah Mandalay dan Naypyidaw pda 28 Mac lalu.
Satu gabungan pasukan merangkumi Tim Medik dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) di bawah komponen MYTEAM Relief dianggotai dua Pegawai Perubatan dan dua anggota perubatan telah digerakkan bersama-sama SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan tersebut.
Mengharungi gegaran susulan, serangan udara tentera dan ancaman periuk api, pasukan Malaysia menjalankan operasi SAR di tengah-tengah infrastruktur yang runtuh dan sumber yang terhad.
Misi mereka berjaya menemukan tujuh mangsa, termasuk seorang yang terselamat di bawah runtuhan.
Walaupun tidak dapat kembali ke tanah air, ramai pelarian Myanmar di Malaysia berganding bahu mengumpul dana untuk membantu saudara mereka yang terjejas.
Setakat ini, COBEM dan beberapa individu telah berjaya mengumpul RM90,000 bagi disalurkan kepada NGO yang beroperasi di lapangan.
James turut menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan Malaysia yang menyalurkan RM10 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan.
“Komitmen ini, terutama dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menunjukkan kepimpinan dan solidariti serantau yang sebenar,
“Kami berharap negara-negara ASEAN lain turut mengutamakan nilai kemanusiaan seperti yang ditunjukkan oleh Malaysia,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#SmartMalaysia #Myanmar #Malaysia #COBEM #gempabumi #airtimes