KUALA LUMPUR, 8 APRIL – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuka kertas siasatan terhadap dua individu yang didapati memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur 3R (perkauman, agama dan institusi diraja) di platform media sosial Facebook serta TikTok.
“Salah seorang daripada dua individu tersebut merupakan pempengaruh dan aktivis politik yang menimbulkan sentimen perkauman di media sosial yang melibatkan lagu kebesaran Negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad serta isu pengambilalihan Menara Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.
MCMC menerusi satu kenyataan, memaklumkan sesi rakaman percakapan telah dijalankan terhadap kedua-dua individu pada Isnin di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya untuk membantu siasatan lanjut.
Justeru, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM milik salah seorang suspek telah disita bagi tujuan analisis forensik.
Sementara itu, bagi seorang lagi suspek, MCMC memaklumkan, telefon bimbit miliknya juga telah disita oleh pihak polis bagi siasatan berkaitan kesalahan yang berbeza.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab dan berhemah serta tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini,” nyata dalam kenyataan. -airtimes.my
#AirTimes #MCMC #3R #mediasosial #Malaysia