KUALA LUMPUR, 8 Apr – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah menyelamatkan seorang lelaki berusia 47 tahun yang tertimbus lebih 72 jam di kawasan runtuhan Worksite K10, Myanmar, dalam misi kemanusiaan Operasi MyTeam Relief Gempa Bumi Myanmar baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata, penemuan mangsa yang masih hidup itu antara pencapaian utama pasukan sepanjang enam hari menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan.
“Pasukan juga berjaya mengeluarkan 10 lagi mangsa termasuk 4 orang kanak-kanak yang meninggal dunia dalam operasi tersebut,” ujarnya.
Pasukan yang terdiri daripada 50 anggota itu selamat tiba di tanah air kira-kira pukul 5.00 petang Isnin dengan menggunakan dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat di Lapangan Terbang TUDM Subang.
Kepulangan wira kemanusiaan disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus, bersama wakil-wakil Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan NADMA.
Dr Abdul Gapar berkata, Operasi MyTeam Reflief ini telah memberi peluang kepada pasukan SMART menguji tahap kesiapsiagaan dan pematuhan kepada piawaian Heavy Urban Search and Rescue (USAR) antarabangsa.
“Kecekapan anggota SMART, penggunaan peralatan dan kelengkapan SAR yang canggih, kerjasama yang harmoni dengan pasukan tempatan serta keupayaan taktikal SMART mendapat penghargaan daripada pemimpin dan komuniti setempat,” ujarnya lagi.
Dr Abdul Gapar juga menekankan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen Malaysia terhadap prinsip kemanusiaan dan solidariti serantau dalam pengurusan bencana.
Setibanya di tanah air, kesemua anggota menjalani saringan kesihatan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan didapati berada dalam keadaan sihat secara fizikal dan mental.
Terdahulu, ketika umat Islam di Malaysia bersiap menyambut Hari Raya Aidilfitri, pasukan SMART telah diatur gerak ke Myanmar bagi menjalankan misi menyelamat susulan tragedi gempa bumi kuat yang melanda wilayah Mandalay dan Naypyidaw pda 28 Mac lalu.
Satu gabungan pasukan merangkumi Tim Medik dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) di bawah komponen MYTEAM Relief dianggotai dua Pegawai Perubatan dan dua anggota perubatan telah digerakkan bersama-sama SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan tersebut.
“Ia menjadikan keseluruhan anggota ATM yang terlibat adalah seramai 16 orang (12 dengan pasukan SMART). 34 orang lagi anggota SMART yang menyertai misi berkenaan terdiri dari 13 orang anggota PDRM dan 21 anggota JBPM menjadikan jumlah keseluruhan seramai 50 anggota diaturgerak bagi penugasan ini,” kata ATM di akaun media sosial rasminya.-airtimes.my
#airtimes #SMART #timpenyelamat #gempabumi #Malaysia #Myanmar