KUALA LUMPUR, 8 Apr – Seluruh rakyat Malaysia digesa untuk mengetepikan perbezaan politik dan bersatu dalam menghadapi tekanan global susulan pengumuman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Adly Zahari menegaskan, pelaksanaan tarif sehingga 24 peratus terhadap barangan Malaysia merupakan cabaran besar kepada ekonomi negara, justeru, ia menuntut kesepakatan nasional merentas semua pihak iaitu kerajaan, pembangkang dan masyarakat sivil.
“Dalam menghadapi tekanan global yang kian meningkat, adalah penting bagi Malaysia menunjukkan kesepakatan nasional demi mempertahankan kepentingan ekonomi negara,
“Perbezaan politik tidak wajar menjadi penghalang dalam usaha membina ketahanan negara menghadapi cabaran luaran yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Trump sebelum ini mengumumkan tarif asas 10 peratus ke atas semua barangan import, dengan kadar lebih tinggi ke atas negara tertentu termasuk 34 peratus terhadap China, 20 peratus terhadap Kesatuan Eropah, 46 peratus terhadap Vietnam, 36 peratus terhadap Thailand, dan 24 peratus terhadap Malaysia.
Sehubungan itu, Adly berkata, tindakan sepihak Amerika Syarikat itu tidak sepatutnya dijadikan punca perpecahan politik dalam negara, sebaliknya harus menjadi pemangkin untuk mengukuhkan kestabilan politik domestik demi keyakinan pasaran dan pelabur.
“Mengapa kita perlu berpecah kerana tindakan Trump? Ancaman luar menuntut respons bersama yang tersusun dan strategik,” tegas Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.
Tambahnya, Malaysia kini memainkan peranan penting dalam kerangka ASEAN apabila diberi kepercayaan oleh negara serantau untuk mengemudi respons terhadap ketidaktentuan global, satu tanggungjawab besar yang perlu disokong semua pihak tanpa mengira latar politik.
“Kepercayaan ini bukan hanya penghormatan kepada negara, malah satu tanggungjawab bersama yang wajar didokong semua pihak termasuk pembangkang bagi memastikan suara ASEAN kekal berwibawa dan berpaksikan kesatuan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh asas ekonomi negara, termasuk menarik pelaburan berkualiti, memperluas pasaran eksport serta memperkasa industri strategik.
Tegasnya, sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik ketika ini hanya akan melemahkan kedudukan Malaysia dalam rundingan serta kerjasama antarabangsa.
“Oleh itu, marilah kita bersama mengetepikan perbezaan dan membina kesepaduan nasional demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau lagi.-airtimes.my
#Malaysia #AdlyZahari #TarifTrump #AS #ekonomi #semasa