KUALA LUMPUR, 8 Apr – Siasatan berhubung kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak pada 24 Mac lalu masih dijalankan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku termasuk kes buli sama ada melibatkan pegawai mahupun anggota.
Beliau menyifatkan kejadian buli atau penderaan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap pasukan, dan menegaskan bahawa Tentera Darat Malaysia (TDM) memandang serius perkara tersebut.
“TDM menganggap setiap anggota sebagai saudara yang wajib dilindungi. Insiden yang menimpa Prebet Muhammad Muqriz Aseri amat dikesali dan memberi kesan besar kepada institusi ketenteraan,
“Saya amat kesal dan bersedih dengan kejadian yang menimpa Allahyarham. Ini satu-satunya kejadian yang benar-benar memberi kesan kepada TDM,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga Op Merpati 8 Briged di Pos Tok’O di Rantau Panjang, pada Isnin.
Sebelum ini, Air Times melaporkan, kematian seorang anggota TDM itu berpunca daripada hentakan kuat di bahagian dada.
Sel Perhubungan Raya, Markas Tentera Darat Malaysia memaklumkan, mangsa Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, meninggal dunia akibat kerosakan pada jantung susulan hentakan terbabit.
Siasatan awal mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai menjadi penyebab utama kematian Allahyarham.
Sehubungan itu, TDM telah menyerahkan kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Selain itu, satu Lembaga Siasatan dalaman turut ditubuhkan bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden ini.
Dalam masa yang sama, Panglima Tentera Darat turut memaklumkan, seramai 41 pegawai dan anggota Tentera Darat telah diberhentikan daripada perkhidmatan kerana terlibat dengan kes buli serta penderaan yang membabitkan anggota bawahan sejak tahun 2019.
Tegasnya, mereka yang diberhentikan terdiri daripada 12 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat.-airtimes.my
#TDM #kematian #20RAMD #anggota #airtimes #Malaysia