KUALA LUMPUR, 7 APR – Bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengesahkan beliau telah bertemu dengan pihak polis berhubung pendedahan mengenai penyebaran ideologi komunisme di Malaysia.
Menurut beliau, pihak polis telah mengajukan persoalan berhubung pendedahan yang dibuat pada Mac lalu.
“Hari ini saya telah kali kedua diwawancara oleh Polis Bukit Aman dan lebih dari 30 persoalan dikemukakan berhubung dengan dedahan yang sempat saya buat, berkaitan dengan kegiatan beberapa pihak yang menjurus kepada Satu China (Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina) dan juga kegiatan-kegiatan pihak sel komunis di Malaysia, khasnya di Semenanjung,
“Dari 30 soalan yang dikemukakan itu, sebahagiann besar saya jawab dan saya dapati bahawa apabila saya buat dedahan ini, saya tak menduga bahawa saya pula menjadi sasaran,” katanya dalam satu sidang media, pada hari ini.
Selain itu, Rais Yatim yang sebelum ini pernah menjadi Menteri Luar dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri merakamkan penghargaan kepada pihak polis yang dilihat mengambil berat mengenai pendedahan beliau.
“Saya ucap terima kasih kepada PDRM, termasuk polis Dang Wangi dan Bukit Aman yang mengambil berat nampaknya kes ini dan menyusul dengan profesionalisme yang saya anggap sangat bernilai dan boleh membantu siasatan-siasatan berikutnya,” katanya.
Beliau turut berharap agar pendedahan beliau diberikan perhatian kerana ianya melibatkan isu kenegaraan.
“Ini merupakan satu kemungkinan besar bahawa isu-isu berat tentang komunisme ini dapat hendaknya diambil tindakan segera dan melibatkan pihak-pihak yang telah bergiat setakat ini,
“Justeru, laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak itu termasuk saya harap dapat disusul dengan cepat,” ujar beliau.
Pada 25 Mac lalu, Rais Yatim mendedahkan terdapat persatuan yang terlibat dalam penyebaran ideologi komunisme secara halus di negara ini.
Beliau mendedahkan, persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Satu China di Malaysia mempunyai agenda tersirat untuk menyemai pengaruh ideologi komunis dalam masyarakat, termasuk melalui institusi pendidikan.
Ini berikutan pendedaha sebuah klip video yang berdurasi 2 minit 57 saat yang didakwa mempromosi fahaman komunis di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada akhir Mac lalu memberi jaminan bahawa pihak polis melakukan secara terperinci berhubung perkara tersebut.
“Polis memandang serius dakwaan itu memandangkan sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis secara halus mahupun terbuka adalah bertentangan dengan prinsip rukun negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,
“Malaysia secara tegas menolak ideologi komunis sejak tahun 1948 dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi terhadap fahaman berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional,” kata Ketua Polis Negara dalam kenyataan pada 26 Mac lalu.
Menurut beliau, Unit Siasatan Jenayah terkelas (USJT) Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjalankan siasatan terperinci terhadap kes berkenaan di bawah peruntukan Seksyen 41/43, Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b), Kanun Keseksaan, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM). – airtimes.my
#AirTimes #malaysia #semasa #Komunisme