BEIJING, 7 April – China bertindak balas dengan pantas terhadap tindakan tarif Amerika Syarikat dengan melaksanakan kawalan eksport baharu yang menyasarkan sektor pertahanan Amerika Syarikat.
Langkah ini diumumkan dua hari selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balas kepada lebih 60 buah negara. Pengumuman Trump menyaksikan produk China dikenakan tarif sebanyak 34%.
Beijing kini mengenakan syarat lesen khas bagi eksport tujuh unsur nadir bumi sederhana dan berat ke Amerika Syarikat. Unsur-unsur tersebut adalah dysprosium, gadolinium, lutetium, samarium, scandium, terbium dan yttrium.
“Langkah ini adalah melindungi keselamatan dan kepentingan negara serta memenuhi kewajipan antarabangsa seperti tidak memperbanyakkan senjata nuklear (non-proliferation),” kata Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyatan.
Langkah yang dikenakan oleh Beijing terhadap Washington dilihat sebagai ‘tembakan amaran’ memandangkan Amerika Syarikat sangat bergantung kepada China bagi bekalan logam ini dan tidak mempunyai keupayaan untuk mengeluarkannya secara besar-besaran di dalam negara.
Selain itu, Beijing turut memberi tekanan kepada rantaian bekalan magnet kekal dalam sektor pertahanan Amerika Syarikat.
Terbium memberikan ketahanan suhu tinggi kepada magnet neodymium iron boron yang mempunyai aplikasi kritikal dalam sistem panduan peluru berpandu, komunikasi satelit dan sistem radar. Ia sekaligus memberikan kepada produk-produk seperti pesawat F-35 Lightning II (Lockheed Martin), dron Predator (General Atomics) dan peluru berpandu Tomahawk (RTX) menggunakan magnet nadir bumi ini.
Selain itu, gadolinium yang digunakan untuk meningkatkan sifat mekanikal aloi dalam bilah turbin dan komponen enjin turut disekat eksportnya ke Amerika Syarikat.
Sebelum tarif diumumkan, Presiden Trump pada 20 Mac lalu mengeluarkan perintah eksekutif menggunakan Akta Pengeluaran Pertahanan (Defense Production Act) bagi meningkatkan pengeluaran mineral domestik. Perintah itu juga mengarahkan Pentagon dan Pejabat Modal Strategik Jabatan Pertahanan untuk mewujudkan dana pengeluaran mineral khusus bagi pelaburan domestik yang dilaksanakan oleh United States International Development Finance Corp. (DFC). – airtimes.my
#AirTimes #Global #Tarif