if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan Keselamatan ATM tunaikan impian kanak-kanak pesakit kronik rasai pengalami sebagai tentera

ATM tunaikan impian kanak-kanak pesakit kronik rasai pengalami sebagai tentera

by M.Daim

BANTING, 7 April – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya merealisasikan impian seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Akif Ziyan bin Azhar, yang menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) atau kanser darah, untuk merasai pengalaman bertugas sebagai seorang tentera. Program istimewa ini dicapai hasil kerjasama erat antara ATM dan Make-A-Wish Malaysia.

Menurut Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, inisiatif ini bertujuan menunjukkan bahawa peranan tentera bukan sahaja terbatas kepada pertahanan negara, tetapi juga melibatkan usaha untuk bersama-sama rakyat dalam membawa kegembiraan dan inspirasi kepada mereka yang memerlukan.

“Tugas tentera bukan sahaja untuk mempertahankan negara tetapi juga untuk bersama rakyat. Dan ini adalah salah satu daripada apa yang kami ingin tunjukkan bahawa kami bersedia bersama rakyat dan kami ingin menunjukkan bahawa kami keluar daripada kepompong biasa,” katanya.

Program ini berlangsung di Pangkalan Udara (PU) Jugra, Banting di mana PAT sendiri telah menyantuni Akif sepanjang program. ATM turut menyediakan Close Escort Team lengkap berpakaian tempur bagi mengiringi Akif sepanjang program, memberikan pengalaman ketenteraan yang penuh bermakna.

Program bermula dengan PAT menjemput sendiri Akif di rumahnya di Jeram, Selangor sebelum membawanya ke PU Jugra menggunakan kenderaan Fitted for Radio (FFR) – Cendana Auto, kenderaan khas milik ATM. Akif, yang mengenakan pakaian celoreng digital Tentera Darat Malaysia, turut merasai pengalaman Pemeriksaan Kawalan Suku oleh PAT di Balai Pengawal PU Jugra.

Di Padang Kawad PU Jugra, Akif menyaksikan tayangan video mengenai Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta demonstrasi Menyelamat Tebusan oleh tim PASKAU. Program turut diserikan dengan istiadat perbarisan, di mana Akif dianugerahkan pakaian seragam PASKAU oleh PAT. Sesi bergambar bersama warga ATM turut diadakan sebagai kenangan istimewa sepanjang program ini.

Sebagai tanda penghargaan, Akif turut menerima cenderahati loreng digital TUDM daripada wakil Panglima Tentera Udara, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM, PANGWILUD 1, serta cenderahati khas daripada Make-A-Wish Malaysia. PAT turut memberikan cenderahati kepada Akif dan keluarganya sebagai kenangan manis.

Program ini juga disertai oleh Siti Hawa binti Roslan, anak seorang warga ATM berusia tujuh tahun yang turut mengalami penyakit kronik, bersama sembilan kanak-kanak lain daripada keluarga anggota ATM yang bersekolah di TA Perpaduan. Kehadiran mereka mencerminkan solidariti dan kebersamaan warga ATM dalam menyokong Akif.

“Kami juga amat berharapkan dan mendoakan agar kesihatan Akif akan terus menjadi lebih baik selepas ini.

”Bukan mudah untuk seorang yang sebesar ini dan umur 5 tahun melalui saat-saat sukar. Itu bukan mudah. Kami cuba sedaya upaya. Inilah yang terdaya kami dapat melaksanakan untuk merealisasikan impian adik Akif.

“Kegembiraan dia adalah reward yang kami mahukan,” kata Panglima Angkatan Tentera

Program ini merupakan contoh bagaimana ATM terus komited dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada masyarakat, terutama kepada mereka yang memerlukan. Kejayaan merealisasikan impian Akif diharap menjadi kenangan manis buat beliau dan keluarga sepanjang hayat. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?