KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa Malaysia mempunyai strategi tersendiri untuk menghadapi kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Menurut beliau, tindakan AS mengenakan tarif sebanyak 24% terhadap barangan eksport Malaysia memerlukan pendekatan yang terancang dan menyeluruh.
“Kita banyak eksport ke Amerika. Lebih kurang 16% dari keseluruhan eksport kita. Bila Amerika kenakan tarif, barang kita di sana (AS) sana jadi mahal,
“Buat masa ini impak kepada kita nampaknya tak berapa teruk berbanding ramai jiran kita. Kita kena tarif 24%. Vietnam kena tarif 46%, Thailand 37% dan Indonesia 32%. Jadi, walaupun kita terjejas, masih ada negara lain yang lebih terjejas,” kata Tengku Zafrul dalam video penerangan yang disiarkan di akaun media sosial rasminya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia telah lama menjangkakan potensi berhubung tarif oleh Donald Trump dan telah mengambil langkah proaktif dengan memperbagaikan pasaran eksport ke negara-negara lain.
Menurut beliau, Malaysia telah mencatatkan rekod tersendiri dalam pasaran eksport pada tahun lalu.
“Eksport Malaysia ke Kenya, Oman, dan Namibia mencapai rekod baharu. Selain itu, Angola mencatatkan peningkatan sebanyak 59.3%, Ethiopia 56.4%, Mesir 53.6% dan Algeria 27.9%,” katanya.
Strategi Pelbagaikan Pasaran Eksport
Tengku Zafrul turut menyatakan bahawa Malaysia kini giat mengadakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan pelbagai negara. Pada awal tahun ini, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Strategik (SIPA) dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rundingan FTA dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea juga telah dimulakan semula sejak tahun lalu.
Di samping itu, beliau menekankan bahawa pasaran ASEAN merupakan peluang besar yang perlu diterokai. Perdagangan antara negara-negara ASEAN masih rendah iaitu di bawah 25%.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memberi fokus untuk meningkatkan perdagangan antara negara-negara ASEAN.
Peranan Ekonomi Tempatan
Menurut Tengku Zafrul, kekuatan utama ekonomi Malaysia ialah ekonomi tempatan yang dipacu oleh perbelanjaan dalam negara.
“Orang Malaysia masih kuat berbelanja. Lebih 60% daripada ekonomi kita dipacu oleh perbelanjaan dalam negara,” jelas beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan telah menubuhkan National Geo-Economic Command Centre yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk merangka strategi komprehensif bagi menangani isu-isu seperti ini.
“Pada masa yang sama, kita teruskan rundingan dengan kerajaan AS dan pergerakan syarikat untuk mencari penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua pihak. Yakinlah, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat dilindungi sebaik mungkin,” kata beliau.– airtimes.my
#Malaysia #Semasa #tarif