Dua hari selepas tragedi gempa bumi di Myanmar pada 28 Mac, Malaysia menjadi antara negara terawal yang menghantar bantuan kemanusiaan bersama anggota penyelamat ke sana.
Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia memberikan respons pantas terhadap musibah yang melanda jiran serantau.
Malaysia menyertai 14 negara lain seperti China, India, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia yang menghantar bantuan termasuk pasukan penyelamat.
Bersama bantuan kemanusiaan bernilai RM10 juta, negara menghantar 50 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Turut menyertai operasi yang digerakkan pada 30 Mac ialah 49 anggota termasuk 16 dari ATM, PDRM (13) dan bomba (21) bagi operasi mencari dan menyelamat.
Antara peralatan yang dibawa ialah set Base of Operations, peralatan mencari dan menyelamat, komunikasi, teknikal, perubatan dan dua buah trak Man.

Aturgerak pasukan penyelamat Malaysia ke Myanmar dilaksanakan ketika umat Islam di negara ini dalam ambang menyambut Hari Raya Aidilfitri. Foto: FB SMART
Sangat besar pengorbanan Tim Penyelamat Malaysia apabila diatur gerak ke sana hanya sehari menjelang Aidilfitri.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 itu sehingga kini mencatat 3,003 angka kematian, 4,515 cedera dan 351 masih hilang.
Pasukan penyelamat negara berlepas menggunakan dua pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Harus diakui pemilikan pesawat Airbus A400M mempermudahkan misi kemanusiaan yang disertai Malaysia.
Pada Februari 2023, pasukan penyelamat Malaysia antara negara asing pertama tiba di Turkiye dalam membantu tugas mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi.
Kerajaan mengatur gerak pasukan SMART dalam tempoh kurang daripada 12 jam bencana itu berlaku, ia kemudian disusuli pasukan perubatan ATM.
Tim Op Starlight (pengendalian hospital medan di Türkiye) ini melibatkan penghantaran pertama 36 pegawai serta kelengkapan hospital medan seberat 44 tan.
Reaksi Malaysia khususnya ATM dapat memainkan peranan pada pentas bantuan kemanusiaan antarabangsa tidak dapat disangkal kerana mempunyai keupayaan pengangkutan udara yang efisien.
Berbanding jika menggunakan pesawat pengangkut seperti Hercules C-130, jumlah bantuan serta kelengkapan yang boleh digerakkan adalah terhad tidak setanding kapasiti Airbus A400M.
Sekurang-kurangnya empat buah pesawat Hercules C-130 diperlukan untuk menghantar bantuan dan kelengkapan sama ke Myanmar.

Malang tidak berbau. Insiden Putra Heights menunjukkan situasi bencana boleh berlaku pada bila-bila masa. Foto: FB Bomba Selangor
INSIDEN PUTRA HEIGHTS
Empat hari selepas tragedi gempa bumi di Myanmar, negara dikejutkan pula dengan insiden letupan dan kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Seperti dijangka, ada sahaja pihak yang mula mempertikaikan kewajaran menghantar pasukan penyelamat ke Myanmar apabila negara sendiri berdepan musibah.
Pertikaian kemudian mewujudkan persepsi.
Sebenarnya, bantuan penyelamat dan misi kemanusiaan antarabangsa dengan operasi menghadapi bencana dalam negara merupakan dua situasi berbeza.
Penghantaran pasukan penyelamat ke luar negara juga menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan untuk memikul tanggungjawab operasi kemanusiaan.
Ini kerana negara memiliki cukup kekuatan untuk melaksanakan situasi kecemasan dalam negara melalui agensi utama iaitu Jabatan Bomba dan Penyelama Malaysia (JBPM) dibantu Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Ini dibantu lain-lain pihak seperti Kementerian Kesihatan termasuklah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan polis.
Dalam kata mudah, penghantaran pasukan SMART ke Myanmar samalah seperti penugasan ATM dalam misi tentera pengaman PBB di Lebanon.
ATM terlibat dalam misi UNIFIL ini sejak tahun 2007.
Walaupun negara berdepan pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 2013 namun kerajaan tidaklah sampai menarik balik penugasan tentera pengaman di sana.
Ini kerana ATM tetap mempunyai keupayaan untuk berdepan dengan ancaman pencerobohan tersebut.
Sebenarnya, ramai dalam kalangan masyarakat umum masih keliru dengan fungsi SMART sebagai sebuah pasukan khas mencari dan menyelamat negara.
Ini kerana pasukan SMART jauh peranannya seperti bomba, sebaliknya lebih khusus.
SMART ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Negara Malaysia yang berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri pada 18 Mei 1994.
Secara asasnya, pasukan ini mempunyai lima kepakaran utama iaitu struktur bangunan runtuh, penyelamatan dari tempat tinggi yang menggunakan tali dan ruang sempit.
Kepakaran lain ialah penyelamatan di kawasan air dan penyelamatan di gunung atau hutan belantara.
Sebagai pasukan penyelamat bertaraf dunia, SMART sentiasa ke ceruk dunia dalam mod siaga untuk ditugaskan pasa sebilang masa. – airtimes.my
#Kolumnis #SMART #Diskusi