if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan Keselamatan Cabaran MALBATT di UNIFIL masa kini adalah lebih sukar, tidak sama seperti dahulu

Cabaran MALBATT di UNIFIL masa kini adalah lebih sukar, tidak sama seperti dahulu

by M.Daim

NAQOURA, 6 APRIL – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, menegaskan bahawa cabaran yang dihadapi oleh MALBATT 850-12 di Lubnan kini lebih kompleks dan tidak menentu berbanding dahulu.

Menurut beliau, situasi keselamatan di kawasan operasi kini kerap berubah-ubah dan menuntut persediaan mental serta kefahaman misi yang mantap dalam kalangan anggota bertugas.

“Keadaan sekarang adalah complicated ataupun kompleks di mana banyak ketidaktentuan, perkara berubah-ubah dari semasa ke semasa, bukan seperti dahulu lagi.

“Setiap anggota dan setiap mereka yang berada di sini perlu sentiasa bersedia,” kata Panglima Angkatan Tentera yang juga pernah mengetuai misi MALBATT di bawah UNIFIL di Lubnan pada satu ketika dahulu.

Beliau berkata, UNIFIL kini perlu dilihat sebagai satu badan yang melindungi orang awam dan mencegah tindakan agresif berterusan dari pihak tertentu.

Semasa pertemuan dengan UNIFIL Force Commander di Naqoura, beliau dimaklumkan bahawa kesukaran operasi ini dipengaruhi oleh tindakan agresif dari pihak tentera Israel yang melangkaui batasan yang sepatutnya.

“UNIFIL mempunyai ruang lingkup yang terhad untuk bertindak dalam menghadapi situasi ini. Namun, di bawah carta United Nations, kita boleh mempertahankan jiwa orang awam dan mempertahankan diri,

“Apabila UNIFIL ada, ini akan menjadi buffer zone (zon penampan). buffer (penampan) kepada pihak IDF untuk terus melancarkan serangan,” ujar beliau.

Pertemuan dengan pihak tertinggi UNIFIL memberikan gambaran jelas berhubung cabaran yang dihadapi oleh kontinjen MALBATT. Foto: Markas ATM

Beliau menambah, situasi ini telah meletakkan UNIFIL sebagai satu penugasan yang amat sukar. Ini berikutan cabaran dan had untuk melaksanakan inisiatif untuk melakukan tindakan-tindakan yang sewajarnya.

Panglima Angkatan Tentera itu turut menekankan bahawa misi yang dijalankan oleh MALBATT 850-12 kini adalah lebih mencabar berbanding dahulu. Namun, beliau optimis bahawa kekuatan mental anggota serta kefahaman terhadap misi ini akan memberi mereka kelebihan dalam menjalankan tugas yang mencabar ini.

Mohd Nizam telah melaksanakan lawatan kerja beliau ke Lubnan pada 2 hingga 4 April 2025.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah mengadakan mengadakan Kunjung Hormat kepada UNIFIL Force Commander, Lieutenant General Aroldo Lázaro Sáenz di Ibu Pejabat UNIFIL (UNIFIL Headquarters), Naqoura.

Menurut Markas ATM, pertemuan dengan Aroldo telah memberi peluang kepada PAT untuk mendapatkan maklumat langsung mengenai cabaran yang dihadapi oleh MALBATT 850-12 dan memastikan operasi pengaman terus berjalan lancar.

“Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara ATM dan pasukan pengaman PBB, serta membincangkan perkembangan terkini misi keamanan di Lubnan,

“Selain memperlihatkan komitmen Malaysia dalam memastikan kestabilan di kawasan konflik,” kata kenyataan itu.

Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar pada satu ketika dahulu pernah mengetuai misi MALBATT di Lubnan. Foto: Markas ATM

Selatan Lubnan yang berada di bawah bidang penugasan UNIFIL tidak terlepas daripada asakan Israel berikutan peperangan yang berlaku di kawasan pesisir Laut Mediterranean bermula pada 7 Oktober 2023.

Israel telah melancarkan serangan darat terhadap Selatan Lubnan pada 1 Oktober 2024 sebagai operasi ofensif terhadap kumpulan bersenjata Hezbollah. Operasi ofensif darat itu menyaksikan pencerobohan tentera Israel di beberapa pos kawalan pasukan pengaman UNIFIL.

Ibu Pejabat UNIFIL tidak terlepas dari pertempuran antara Israel dan Hezbollah. Malah, serangan pada 10 Oktober 2024 telah menyebabkan 2 anggota pengaman Indonesia (INDOBATT) tercedera akibat terkena tembakan kereta kebal tentera Israel.

Selain itu, 5 anggota pengaman MALBATT cedera apabila Israel melancarkan satu serangan dron di Sidon pada 7 November 2024. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Lubnan #UNIFIL

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?