KAHERAH, 3 APR – Israel menuduh Mesir sengaja melanggar perjanjian damai dengan menambah jumlah pasukan tentera di Semenanjung Sinai secara berlebihan dan melakukan pembangunan ketenteraan yang melampaui had yang dibenarkan.
Penambahan aset dan pasukan tentera Mesir mutakhir ini didakwa melanggar Perjanjian Damai Mesir-Israel 1979, yang menetapkan bahawa penempatan tentera di Sinai harus dihadkan bagi memastikan keamanan antara kedua-dua pihak. Peningkatan ketenteraan di kawasan tersebut dianggap sebagai satu pelanggaran serius oleh Israel.
Media Israel memetik sumber keselamatan mereka yang mendakwa Mesir telah mengerahkan pasukan melebihi kuota yang dibenarkan, memperluaskan kemudahan pelabuhan serta memanjangkan landasan di lapangan terbang di kawasan Sinai.
“Mesir telah menambah bilangan tentera melebihi kuota yang dibenarkan, memperluaskan fasiliti pelabuhan, dan memanjangkan landasan lapangan terbang. Semua tindakan ini dianggap sebagai melanggar perjanjian damai,” kata laporan itu.
Israel kini sedang mengadakan rundingan dengan Kaherah dan Washington bagi mencari penyelesaian terhadap isu ini.
Sebelum ini, Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat, Yechiel Leiter, pada Februari lalu menyatakan bahawa peningkatan ketenteraan Mesir di Sinai adalah “tidak dapat diterima”.
Pada akhir Mac lalu, Duta Besar Israel yang baru dilantik ke Mesir, Ori Rotman, tidak dibenarkan menghadiri majlis penyerahan watikah pelantikannya kepada Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi.
Menurut laporan Al-Araby Al-Jadeed yang berpangkalan di Qatar, pembatalan tersebut dibuat ekoran “pencerobohan berterusan di Gaza” oleh Israel.
Sumber diplomatik Mesir menyatakan bahawa penangguhan itu bukanlah bermakna penurunan hubungan diplomatik antara Mesir dan Israel, sebaliknya mencerminkan pendirian politik di bawah keadaan luar biasa yang sedang dialami rantau tersebut.
“Israel dilihat berlengah-lengah dalam memberikan respons kepada usaha serantau dan antarabangsa untuk mengukuhkan gencatan senjata serta mengurangkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza,” kata laporan itu.
Laporan itu turut menyebut bahawa pelantikan duta besar Mesir yang baru ke Tel Aviv masih tergantung, yang dianggap sebagai gambaran jelas tentang kebuntuan dalam hubungan antara kedua-dua negara sejak tercetusnya perang Israel di Gaza pada 7 Oktober 2023.
Menurut sumber, pihak Mesir juga mendakwa bahawa Israel bersikap tidak bekerjasama dalam rundingan antara kedua-dua negara berkaitan konflik di Gaza. Isu ini turut dibangkitkan dalam perbualan antara Utusan Timur Tengah AS, Steve Witkoff dan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, yang menyampaikan amaran jelas mengenai kesan negatif jika Israel terus berkeras dalam pendiriannya. – airtimes.my